Bayangkan jika anda membeli sebuah rumah berkembar dua tingkat di kawasan bandar. Di sebelah rumah, anda mendapati bahawa terdapat sebidang tanah yang sederhana luasnya untuk diusahakan dengan pelbagai tanaman mengikut kesukaan diri.
Maka apakah jenis tanaman yang mahu anda usahakan? Apabila kita berbicara mengenai perkara ini, kesemua orang sedia maklum bahawa kebanyakan pemilik rumah lazimnya akan memilih untuk menanam sawi, cili, terung, jagung, ulam raja dan cangkuk manis.
Bagaimanapun bagi Kelly Rubab, 38, kesemua sayur-sayuran itu bukanlah menjadi pilihan utama untuk diusahakan di sebelah rumah yang dibeli bersama suaminya, Ebit Seng, 39, di Taman Mutiara, Jalan Brayun dalam Bandar Simanggang ini semenjak tahun 2013.
Sebaliknya, pasangan tersebut telah pun bertindak memilih lemon sebagai tanaman utama untuk diusahakan di tanah sebelah rumah bagi tujuan kegunaan seisi sekeluarga sehingga sekarang.
“Tak ramai pemilik rumah yang menanam pokok lemon di sebelah rumah. Ini kerana lemon tidak dapat dijadikan sebagai lauk untuk tujuan makan tengahari atau malam berbanding dengan sayur-sayuran seperti cangkuk manis atau sawi.
“Begitu juga dengan kami sekeluarga. Namun tindakan kami menanam pokok lemon ini sebenarnya mempunyai tujuan penting iaitu untuk mendapatkan jus daripada buah-buahan tersebut,” kata Kelly.
Wanita tersebut memberitahu jus lemon mempunyai banyak manfaat kesihatan jika sering dinikmati bersama air kosong pada setiap hari seperti mengurangkan risiko strok, mencegah barah, menurunkan tekanan darah dan meningkatkan penyerapan zat besi.
Malahan mengamalkan minuman jus lemon bersama air kosong katanya juga membuatkan kulit menjadi lebih sihat seperti yang sering diamalkan oleh kebanyakan selebriti negara dan dari seluruh dunia sehingga sekarang.
“Selain membekalkan kandungan vitamin C yang tinggi, amalan meminum jus lemon juga akan dapat sistem kekebalan tubuh dan seterusnya menyumbang kepada usaha menurunkan berat badan untuk seseorang individu.
“Atas sebab itulah saya dan suami memilih untuk menanam pokok lemon. Ini kerana lemon memberi banyak manfaat dari segi sudut kesihatan walaupun ia tidak dapat dijadikan sebagai santapan makanan tengahari atau malam pada setiap hari,” kata Kelly.
Penjawat awam itu juga turut memberitahu saudara mara dan rakan-rakannya akan bertandang ke rumah pada sekian masa untuk mendapatkan buah berkhasiat tersebut jika mereka memerlukannya bagi tujuan kesihatan.
Sebahagian daripada mereka kata Kelly menawarkan untuk membeli buah lemon berkenaan namun ditolak oleh dirinya bersama suami dengan alasan buah tersebut bukanlah untuk dijual.
“Lagi pun menanam pokok lemon tidak memerlukan banyak kerenah atau usaha. Selagi ia diberi cukup baja maka pokok lemon anda akan menjadi subur dan menghasilkan banyak buah bergantung kepada jenis tanah tempat tanamannya.
“Tiga tahun mungkin sudah cukup untuk pokok lemon anda membuahkan hasil. Justeru jika ingin mendapatkan jus kesihatan ini secara percuma maka tanamlah pokoknya di sebelah rumah kerana hasilnya nanti sudah tentu tidak merugikan,” kata Kelly.
Selain lemon, beliau bersama suaminya turut menanam pokok jambu air @ kerian dan nenas di sebelah rumah kerana kedua-dua buah tersebut turut memberi manfaat kesihatan kepada mereka sekeluarga.
“Adakah anda ingin tahu rahsia lain buah lemon selain daripada diminum? Cuba hiriskan bahagian atas buah tersebut dan cucukkan dengan sepotong kecil bunga cengkeh ke dalamnya.
“Selepas itu, letakkan berdekatan makanan yang memiliki bau terutama sekali belacan. Lihat sama ada lalat hinggap atau tidak selagi buah lemon bercucuk bunga cengkeh itu diletak berhampiran makanan anda,” kata Kelly.
Oleh Valentine Ngumbang