

SARIKEI: Sebarang pertikaian mengenai hak milik tanah termasuk tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), hanya boleh ditentukan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata penuntut tanah masih boleh memohon melalui penghulu, ketua kaum atau tuai rumah.
“Tetapi pada akhirnya, hanya JTS yang mempunyai kuasa undang-undang untuk menentukan status tanah tersebut.
“Pegawai Daerah (DO) mungkin boleh memberikan syor kepada pihak berkuasa, namun keputusan akhir tetap berada di tangan JTS,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak malam tadi.
Len Talif berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin bahawa ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) tidak lagi mempunyai kuasa untuk menandatangani perjanjian penjualan tanah atau menentukan kesahihan status tanah sebelum diajukan kepada pejabat daerah dan JTS.
Mengulas lanjut, beliau berkata JTS adalah satu-satunya pihak berkuasa yang diiktiraf oleh undang-undang dalam hal berkaitan tanah di negeri ini.
“Hanya JTS yang boleh menentukan status sesuatu tanah. Bukan sahaja tanah NCR tetapi juga semua jenis tanah lain di Sarawak.
“Apa sahaja perkara berkaitan tanah, hanya JTS adalah jabatan yang berkelayakan,” tegasnya lagi.
Bagaimanapun Len Talif tidak menolak kemungkinan terdapat pihak seperti ketua kaum atau tuai rumah yang bertindak di luar bidang kuasa mereka dalam hal berkaitan tanah, termasuk urusan penjualan tanah atau lot rumah.
Namun, katanya, setiap kes tetap perlu dikembalikan kepada JTS untuk proses semakan terperinci.
“Pada akhirnya, ia tetap perlu dirujuk kembali kepada JTS untuk menentukan termasuk nilai serta mendaftarkan tanah itu kepada individu yang diiktiraf selepas melalui proses yang teliti,” jelasnya.
Justeru, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang keputusan mengenai status tanah tanpa merujuk kepada pihak berkuasa yang sah bagi mengelakkan sebarang pertikaian pada masa akan datang.
Oleh Earl Anek