
SARIKEI: Sebanyak 122 keping iklan pemberi pinjam wang tanpa lesen ditanggalkan dalam Ops Vulture yang dijalankan di sekitar Jalan Berek di sini.
Operasi yang dilaksanakan baru-baru ini melibatkan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei dengan kerjasama anggota penguat kuasa Majlis Daerah Sarikei (MDS).
Menurut laporan pihak polis, kesemua iklan yang ditanggalkan bukan sahaja dipasang tanpa lesen sah, malah diletakkan di lokasi yang tidak dibenarkan.
Tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti pemberi pinjam wang haram yang sering menjerat mangsa dengan kadar faedah tinggi dan ancaman keganasan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan iklan pinjaman tidak berlesen serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.
Oleh Earl Anek