
SEJAK mula bersiaran pada 28 Februari lalu, Keluarga Itu terus mencuri perhatian. Baharu tiga episod ditayangkan, namun gelombang reaksi di media sosial sudah cukup untuk membuktikan impaknya, dengan lambakan rasa sakit hati, kecewa, jijik, keliru, malah ada yang overthinking.
Keluarga Itu mengangkat tema yang cukup berat dan penuh sensitiviti, membongkar realiti yang mungkin sukar diterima.

Dengan elemen kekeluargaan dan nilai Islamik yang kuat, serta tayangannya pada Ramadan, setiap adegan bukan sekadar hiburan, tetapi satu cerminan hidup yang mengundang renungan dan pedoman.
“Keluarga Itu bukan Perempuan Itu, bukan juga Lelaki Itu,” tegas Eirma Fatima, yang enggan mengitar semula naratif lama. Saya mahu paparkan sakitnya, tenatnya masyarakat di luar sana, realiti yang tak pernah masuk dalam mana-mana drama serta isu yang tak ada siapa berani sentuh. Kerana hakikatnya, kadang-kadang, di dalam rumah sendiri pun belum tentu kita benar-benar selamat.”
Dibintangi oleh pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Puteri Balqis, Amir Ahnaf dan Izara Aishah, adegan yang dipaparkan bukan untuk mengejutkan.
Ia menjadi refleksi kepada dunia nyata yang semakin menggila, kehidupan yang lebih tragis daripada apa yang mampu kita bayangkan.
Di sebalik setiap babak yang mendebarkan, terselit kisah yang begitu dekat dengan kehidupan seharian seperti kesetiaan yang diuji, kepercayaan yang terlalu naif, kebebasan yang didamba serta hasad dengki yang meracun dalam diam.

Semua ini menjadikan Keluarga Itu bukan sekadar tontonan, tetapi sebuah realiti yang mungkin lebih dekat dengan kita daripada yang disangka.
Tambah Eirma lagi, “Penonton hari ini semakin bijak memilih karya, jadi saya perlu keluar dari zon selesa. Saya mahu mencabar diri, menjadi trendsetter, bukan follower. Saya tahu risiko yang saya ambil dan saya sudah bersedia andai Keluarga Itu dikecam atau mencetuskan kontroversi. Tidak mengapa, kerana saya tahu kisah ini perlu diceritakan.”
Jangan lupa untuk terus menyaksikan Keluarga Itu, menemani malam anda setiap Jumaat hingga Ahad, 9.00 malam di TV3. Strim 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store untuk tontonan lebih awal. – TV3