
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) dengan kerjasama Persatuan Miri Oil Town Hash House Harriers dan Kelab Pelari Bulatan Park akan menganjurkan Larian Hari Bandaraya pada 18 Mei depan di Marina Park City, sempena ulang tahun ke-20 Bandaraya Miri.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata tujuan utama acara itu adalah menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan dalam masyarakat serta memberi kesan positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa ia bukan hanya sekadar acara sukan, tetapi juga melambangkan kemajuan dan perpaduan masyarakat Miri, yang terus berkembang sejajar dengan kemajuan negara.
“Ia akan menjadi salah satu program utama dalam sambutan Mayfest 2025, bertujuan untuk memperingati perjalanan transformasi Miri sejak diisytihar sebagai bandar raya pada 20 Mei 2005.
“Acara larian akan dimulakan pada 6.30 pagi dengan jarak sejauh lima kilometer, dan yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM50 seorang.
“Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM300, naib juara RM200, tempat ketiga RM150, tempat keempat RM100 dan tempat kelima RM50.
“Selain hadiah tunai, peserta juga akan menerima ganjaran berupa baju acara, pingat penamat dan sajian ringan selepas larian,” katanya menerusi mesyuarat yang berlangsung di Dewan MBM, hari ini.
Menjelas lanjut, Adam Yii memberitahu pendaftaran kini dibuka secara dalam talian melalui aplikasi Jom Run dan akan ditutup pada 15 April ini.
Justeru, beliau mengajak seluruh warga Miri dan pencinta sukan untuk turut serta dalam acara ini sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian dan perkembangan pesat bandar raya Miri dalam tempoh dua dekad.
Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Datuk Bandar MBM Ariffin, Pemangku Setiausaha MBM Abdul Rahman Taupek, Timbalan Setiausaha MBM Petrick Linggie, Pengerusi Pengelola bagi Ulang Tahun Bandaraya Miri Ke-20 dan MayFest 2025 Kaunselor Leslie Lau Ik Chie, Presiden Persatuan Miri Oil Town Hash House Harriers dan Kelab Pelari Bulatan Park Tang. – UKAS