
KUCHING: Orang ramai khususnya umat Islam dijemput untuk bersama-sama memeriahkan majlis berbuka puasa di Tebingan Sungai Kuching, Sabtu ini.
Program anjuran Majlis Islam Sarawak dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan Kerjasama Masjid India Bandar Kuching, Borneo Glamping, Kelab Belia Proaktif dan GRIT Event Management itu bermula pada 4.00 petang.
Program itu juga akan menyaksikan sebanyak 500 pek bubur lambuk akan diedarkan secara percuma kepada para pengunjung sebagai simbolik kepada semangat kebersamaan.
Orang ramai turut digalakkan untuk membawa makanan dan minuman sendiri serta alas tikar bagi menikmati suasana berbuka puasa secara santai.
Setelah berbuka puasa, pengisian untuk program berkenaan juga adalah solat Maghrib berjemaah di Masjid India.
Selepas solat tarawih, jamuan moreh turut disediakan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam komuniti.
Program berkenaan dijangka dihadiri oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Program ini bertujuan memupuk nilai kebersamaan serta memperkukuhkan hubungan antara masyarakat, tanpa mengira latar belakang.
Sehubungan itu, semua pihak dijemput hadir bagi merasai kemeriahan dan keberkatan Ramadan dalam suasana penuh keharmonian.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi sekretariat penganjur di 014-681 0923.
OLEH RYNNA SHA’ERRA