SEKITAR 50 orang belia Sibu mengambil bahagian dalam program kayuhan santai ‘Sunday MTB Ride’ di sini, semalam.
Program atas inisiatif belia di Sibu itu bermula dari Surau Darul Islam Kampung Bandong, membabitkan kayuhan sejauh 20 kilometer (km).
Menurut jurucakap belianya, Abdul Taib Rosli laluan yang dilalui mereka adalah melalui Jambatan Batang Igan , bulatan ke arah Tutus , feri Tanjung Malim, Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II dan sekitar Kampung Datu Lama dan Kampung Hilir.
“Walaupun berkumpulan, arahan dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) turut dipatuhi, di mana jarak di antara sebuah basikal dengan basikal yang lain dijarakkan lebih kurang satu hingga tiga meter.
“Semua peserta telah di beri taklimat keselamatan dan SOP (prosedur operasi standard) kayuhan. Peserta juga mengamalkan pengelakan 3S, iaitu Sesak, Sempit dan Sembang Berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau juga berkata, belia di Sibu mula memilih sukan berbasikal sebagai riadah baru, dan menjadikan sukan berkenaan sebagai lambang penyatuan belia di sini.
“Apa yang kita dapat lihat, penyatuan para belia Sibu terutamanya dalam kayuhan santai begini dengan adanya penglibatan pelbagai pihak dari pelbagai latar belakang.
“Secara peribadi saya yang terlibat secara tidak langsung dalam aktiviti ini merasakan kesatuan dan kesefahaman yang tinggi di antara belia yang turut serta,” katanya.
Abdul Taib menambah, kumpulan belia berkenaan merancang agar aktiviti tersebut diteruskan lagi dengan perancangan yang lebih rapi.
“Mereka akan mengadakan kayuhan ini setiap minggu atau paling tidak sebulan sekali,” katanya.
Program turut disertai oleh Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Nangka Kaunselor Mohd Izkandar Abdullah.
Oleh Nurzilla Mohamad