
KUCHING: Penyemaian budaya integriti dalam kalangan belia menjadi tunjang mengekalkan keharmonian yang telah lama wujud sekali gus membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri etikanya.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata pembudayaan amalan integriti dan tadbir urus yang baik merupakan asas yang membina pentadbiran yang lebih baik untuk Sarawak.
“Pendapatan Sarawak telah meningkat daripada RM5.8 bilion pada 2018 kepada lebih RM15 bilion pada 2025 dan dijangka melebihi RM20 bilion menjelang 2030.
”Ini jelas menunjukkan bahawa Sarawak terus bergerak ke hadapan. Oleh itu, (belia) akan dipercayakan dengan jumlah wang yang lebih besar berbanding hari ini.
”Sehubungan itu, apabila Sarawak terus maju, tadbir urus yang baik dan integriti akan menjadi tunjang utama dalam memastikan kemampanan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Integriti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak 2025 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Tegasnya lagi, penyemaian budaya integriti dalam kalangan warga kerja memerlukan pendekatan yang berterusan dan tidak hanya bergantung kepada program tahunan.
”Penyemaian amalan integriti dalam warga kerja khasnya melibatkan perubahan budaya, struktur organisasi dan penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Ombudsman dan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
”Justeru, langkah proaktif yang diambil oleh JPS Sarawak dalam memperkukuh budaya integriti, termasuk pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) dan pelantikan pegawai integriti adalah bertepatan dalam memupuk budaya integriti dalam warga kerja,” tambahnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Pengarah JPS Sarawak Datu Ir Ts Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Wan Mohamad Wan Drahman dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak Wan Ahmad Nidzam Wan Omar.
Oleh Rynna Sha’erra