
KAPIT: Seorang datuk dijatuhkan hukuman hukuman penjara berjumlah 32 tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kapit, hari ini atas tiga pertuduhan merogol cucunya sehingga mengandung.
Tertuduh yang berusia 58 tahun, bagi pertuduhan pertama dan kedua masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun sementara 12 tahun bagi pertuduhan ketiga, dimana hukuman berjalan secara berasingan.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan melakukan hubungan seks dengan mangsa di dalam bilik tidur rumah mereka di Nanga Banjor, Song pada April dan Mei 2023, lebih kurang 10.30 malam dan 11.00 malam.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama pada Mei 2024, bertempat di ruang tamu rumah sama, kira-kira 10.00 malam.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan di bawah Seksyen 376B(1) hendaklah dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.
Seksyen 16(1) pula memperuntukan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan juga sebatan tidak kurang dua kali.
Mengikut fakta kes, pada 16 Disember 2024, lebih kurang 11.00 pagi, di Klinik Kesihatan Song, pengadu telah menerima pesakit seorang remaja perempuan berumur 16 tahun enam bulan.
Hasil pemeriksaan mendapati remaja terbabit telah mengandung, dan kandungan berusia lebih kurang 33 minggu.
Pengadu kemudian membuat laporan di balai polis untuk tindakan selanjutnya.
Bertindak atas aduan pengadu, pihak polis telah menangkap seorang lelaki iaitu tertuduh bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan mendapati mangsa adalah cucu kandung tertuduh, dan tinggal bersama tertuduh setelah ibu kandung mangsa meninggal dunia.
Tertuduh adalah bapa kandung kepada ibu kandung mangsa, dan mendapat hak penjagaan mangsa dengan kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kes didengar di hadapan hakim Musyiri Peet sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry.
Oleh Akun Giman