
PERTIKAIAN antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) mengenai hak eksploitasi minyak dan gas di Sarawak telah mencetuskan perdebatan yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan, ahli politik, dan badan perundangan, malah kalangan ahli akademik.
Perbincangan ini berkisar tentang keabsahan Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 berbanding Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, serta keperluan untuk menentukan saluran terbaik dalam menyelesaikan isu ini sama ada melalui mahkamah, Parlimen, atau perundingan secara diplomasi.
Penyelesaian melalui mahkamah
Salah satu cadangan utama yang dikemukakan oleh beberapa pihak, termasuk Pemuda SUPP Kuching, adalah untuk mencabar kesahihan PDA 1974 di mahkamah.
Tindakan undang-undang boleh memberikan keputusan yang lebih konkrit dan berpandukan perlembagaan.
Terdapat beberapa aspek yang menyokong pendekatan ini yang pertama dari segi penilaian Perlembagaan.
Peranan oleh mahkamah boleh menentukan sama ada PDA 1974 selaras dengan Perlembagaan Persekutuan atau bercanggah dengan hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sudah ada duluan (presedent) di Sabah apabila terdapat kes yang difailkan oleh aktivis di Sabah untuk mencabar Akta Laut Wilayah, Akta Pelantar Benua, dan Akta Perlombongan Petroleum memberikan duluan bahawa tuntutan perundangan boleh dijadikan jalan untuk mengkaji semula hak negeri terhadap sumber asli mereka.
Maka akan ada keputusan mengikat bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan akan mempunyai implikasi perundangan yang jelas dan mengikat semua pihak, sekali gus mengakhiri sebarang pertikaian yang berterusan.
Namun, terdapat beberapa kelemahan dalam pendekatan ini.
Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan, mahkamah mungkin enggan membuat keputusan yang bertentangan dengan Kerajaan Persekutuan kerana isu ini melibatkan aspek politik dan ekonomi yang kompleks. Tambahan pula, proses undang-undang boleh mengambil masa yang lama dan memerlukan sumber kewangan yang besar.
Penyelesaian melalui Parlimen
Sebagai badan perundangan tertinggi di Malaysia, Parlimen berkuasa untuk menggubal, meminda atau memansuhkan undang-undang termasuk PDA 1974.
Beberapa pihak, seperti Voon Lee Shan, berpandangan bahawa Parlimen merupakan satu-satunya jalan yang boleh meredakan kekacauan politik mengenai isu hak minyak dan gas Sarawak.
Apabila PDA 1974 diluluskan oleh Parlimen, maka sebarang perubahan terhadap akta ini hanya boleh dilakukan melalui Parlimen.
Dengan sokongan majoritidi parlimen, PDA 1974 boleh dipinda atau dimansuhkan untuk memberi lebih kuasa kepada kerajaan Sarawak.
Inilah dikatakan keputusan boleh mengikat kepatuhan terhadap isu tersebut.
Sewajarnya dengan semangat muhibbah perlu ada tindakan bersama kalangan parti politik.
DAP dan PKR sebagai parti komponen dalam Kerajaan Persekutuan boleh memainkan peranan dalam mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan pindaan terhadap PDA.
GPS pula sebagai kerajaan Sarawak juga boleh menggunakan pengaruh politik mereka untuk mendapatkan sokongan di peringkat Parlimen.
Maka, perubahan melalui Parlimen yang dikenali sebagai legitimasi politik akan mampu memberikan penyelesaian yang sah dan diiktiraf oleh semua pihak, berbanding dengan tindakan undang-undang yang mungkin hanya memberi kemenangan separa kepada satu pihak sahaja.
Bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran dalam menggunakan Parlimen sebagai saluran penyelesaian.
Pertama, Kerajaan Persekutuan mungkin tidak bersedia untuk meminda PDA 1974 kerana Petronas merupakan sumber pendapatan utama negara.
Kedua, untuk mendapatkan sokongan majoriti dalam Parlimen adalah sukar kerana parti-parti di Semenanjung mungkin tidak bersetuju dengan sebarang perubahan yang boleh mengurangkan kuasa Kerajaan Persekutuan terhadap sumber petroleum.
Penyelesaian melalui diplomasi, rundingan
Pilihan ketiga adalah melalui perundingan antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk mencapai penyelesaian yang lebih pragmatik dan menguntungkan kedua-dua pihak.
Perkara Ini boleh dilakukan melalui mekanisme seperti rundingan Kerajaan ke Kerajaan (G2G) sebagaimana sedang berlangsung di antara pihak Kerajaan Pusat dan kerajaan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa berbincang dalam semangat MA63 untuk mencari penyelesaian terbaik yang tidak menjejaskan kepentingan kedua-dua pihak.
Namun belum ada keputusan muktamad yang memuaskan kehendak kedua-dua pihak.
Selain itu, model perkongsian perlu dipertimbangan dan kerajaan Sarawak boleh berunding dengan Petronas untuk mendapatkan pegangan saham dalam syarikat tersebut atau menubuhkan model perkongsian yang membolehkan Sarawak mendapat lebih banyak keuntungan daripada hasil minyak dan gasnya.
Begitu juga rundingan membawa kepada perjanjian royalti boleh membawa kepada penyelesaian seperti peningkatan royalti kepada Sarawak, yang ketika ini berada pada kadar lima peratus.
Sekiranya rundingan berjaya, kadar royalti boleh ditingkatkan kepada 10 peratus atau lebih, sepertimana pernah dibincangkan dalam beberapa rundingan terdahulu.
Kelebihan utama pendekatan ini adalah ia mengelakkan ketegangan politik dan pertikaian undang-undang yang boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.
Namun, kelemahannya ialah rundingan memerlukan kepercayaan politik yang tinggi dan Kerajaan Persekutuan mungkin tidak bersedia untuk memberikan lebih banyak kuasa kepada Sarawak kerana menyebabkan pendapatan negara semakin susut sedangkan Petronas ialah aset nasional untuk seluruh rakyat Malaysia dan menampung segala keperluan negara secara menyeluruh.
Analisis
Berdasarkan situasi ini, maka penyelesaian terbaik bagi pertikaian ini adalah melalui gabungan pendekatan diplomasi dan rundingan bersama usaha legislatif di Parlimen.
Walaupun tindakan undang-undang boleh menjadi pilihan terakhir, ia mempunyai kelemahan dari segi keberkesanan dan sensitiviti politik.
Dalam konteks jangka pendek, rundingan antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan adalah langkah terbaik untuk mencari penyelesaian segera yang tidak menjejaskan hubungan antara negeri dan pusat.
Dalam hal ini, kerajaan Sarawak boleh menuntut perjanjian perkongsian atau peningkatan royalti sebagai langkah awal.
Dalam jangka panjang, Parlimen adalah platform terbaik untuk mencapai perubahan struktur yang lebih kekal.
Sekiranya Sarawak ingin mendapatkan kembali kawalan penuh terhadap sumber minyak dan gasnya, pindaan terhadap PDA 1974 perlu dilakukan secara sah di Parlimen.
Sekiranya usaha diplomasi dan Parlimen gagal memberikan penyelesaian yang memuaskan, pilihan terakhir ialah tindakan mahkamah boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenai keperlembagaan PDA 1974.
Apapun pertikaian antara Petronas dan Petros bukan sekadar isu undang-undang tetapi juga melibatkan politik, ekonomi, dan hubungan antara kerajaan negeri dan pusat.
Oleh itu, penyelesaian yang menyeluruh perlu mengambil kira aspek diplomasi, perundangan, dan perbincangan di Parlimen untuk memastikan hak negeri Sarawak tidak terabai tanpa menjejaskan kestabilan negara secara keseluruhan.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasid dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).