BARAM: Komitmen dan sokongan padu semua pihak, dapat memainkan peranan signifikan dalam memperkasakan pendidikan, dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Penubuhan persatuan alumni, menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, merupakan salah satu inisiatif relevan untuk bekas pelajar menyumbang semula kepada sekolah, dan masyarakat setempat.
“Objektif utama persatuan adalah untuk memperkasakan pendidikan melalui kerjasama yang erat, dan sokongan antara alumni serta pihak sekolah.
“Saya berharap agar persatuan ini dapat berfungsi sebagai penghubung untuk merapatkan jurang antara masyarakat, terutamanya ibu bapa, supaya mereka bersama-sama mengembleng tenaga dalam usaha memajukan sekolah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian berucap pada Perasmian Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bario di sini, semalam.
Dalam mesyuarat ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu turut memberikan ruang kepada ahli persatuan untuk berbincang dan merancang pelbagai inisiatif serta program yang boleh dilaksanakan bagi memperbaiki kualiti pendidikan di kawasan tersebut.
Beberapa cadangan dan idea telah dibincangkan, ujarnya, termasuk usaha untuk menyediakan bantuan kepada pelajar yang memerlukan serta memperkenalkan beberapa program antara alumni, dan pelajar.