KUCHING: Gereja di bandaraya ini kini dibuka semula bagi penganut Kristian menghadiri misa gereja setelah ditutup selama tiga bulan kerana pandemik Covid-19.
Uskup Agung Katolik Kuching, Uskup Agung Simon Poh berkata, pembukaan gereja adalah bagi Gereja Katedral St. Joseph termasuk gereja lain seperti Gereja St. Mark, Gereja Carmelite, Gereja St. Peter dan Chapel Ibu Mary.
“Pada hujung minggu lalu, gereja Katolik yang lebih kecil di Lundu, Bunan Gega, Tebedu, Sri Aman, Betong, Saratok telah kembali dibuka.
“Di Katedral St. Joseph, kami sebenarnya telah memulakan khidmat misa pada Sabtu, jam 5.00 petang untuk misa Mandarin, dan 8.00 malam untuk misa Inggeris,” katanya.
Beliau menambah, untuk Ahad, mereka telah melakukan siaran langsung pada 8.00 pagi, 9.15 pagi dan 10.30 pagi.
“Sementara, untuk misa pula adalah pada 2.00 petang bagi misa Bahasa Melayu dan 5.00 petang untuk misa Inggeris,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.
Beliau turut menjelaskan, buat masa ini gereja di Keuskupan Agung Kuching hanya akan membenarkan 100 umatnya menghadiri misa di gereja, dan hanya akan dibuka dengan kapasiti maksimum 250 orang seperti yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan setelah gereja bersedia sepenuhnya.
“Kami telah menerapkan semua prosedur operasi standard (SOP) seperti menandakan jarak sosial satu meter di bangku, pemeriksaan suhu sebelum pintu masuk, ketika umat pergi menerima Komuni Suci termasuk membasmi kuman gereja setelah misa,” katanya.
Beliau menambah, antara SOP lain yang harus dipatuhi adalah dengan membuat pra-pendaftaran atau membuat panggilan sebelum pergi ke gereja dan dinasihatkan untuk datang satu jam lebih awal sebelum misa supaya warden gereja dapat membawa mereka ke tempat duduk masing-masing.
“Biasanya pada Ahad, kami mempunyai lebih dari 1,600 umat yang datang untuk berdoa di gereja, tetapi kerana Covid-19 dan mematuhi SOP, jumlahnya dikurangkan menjadi 100 terlebih dahulu.
“Oleh itu, kita harus berusaha untuk memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat hadir dengan terus melakukan siaran langsung.
“Sekali lagi, saya memohon kepada semua umat Katolik untuk bersabar dan menunggu giliran masuk ke gereja. Kami harus sentiasa berhati-hati bagi memastikan setiap gereja Katolik adalah dalam suasana yang aman untuk beribadah yang mana semua umat Katolik dapat datang secara beransur-ansur,” katanya.