BINTULU: Penduduk Taman Perumahan Belle Hill menzahirkan kebimbangan apabila kejadian tanah runtuh di kawasan itu berulang, menyebabkan retakan pada dinding rumah semakin membesar dan mengancam keselamatan mereka.
Susulan kebimbangan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming turun ke lokasi hari ini bersama wakil pemaju, pegawai Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah Bintulu bagi menilai keadaan serta mencari penyelesaian segera.
“Kejadian ini semakin membimbangkan kerana retakan pada dinding rumah semakin teruk, dan menjejaskan keselamatan penduduk.
“Saya telah meminta pihak berkenaan untuk segera membuat penilaian menyeluruh dan mengambil langkah drastik bagi mengelakkan risiko lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pemaju kini sedang giat membina tembok penahan bagi menghalang kejadian berulang.
“Saya akan terus memantau perkembangan ini dan memastikan keselamatan penduduk sentiasa diutamakan,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih