
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah menerima kunjungan hormat daripada pegawai Imigresen Bahagian Sarikei yang diketuai oleh Ketua Imigresen Bahagian Sarikei yang baharu, Suriani Bujang semalam.
Koung Hiing menyatakan rasa penghargaan terhadap kunjungan tersebut dan menzahirkan terima kasih kepada pegawai imigresen atas sokongan serta kerjasama erat yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Saya amat gembira menerima kunjungan ini dan mengalu-alukan kehadiran Suriani Bujang sebagai Ketua Imigresen Bahagian Sarikei yang baharu.
“Saya juga menghargai dedikasi serta komitmen pihak imigresen dalam memastikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya kepada media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Meradong.
Dalam pertemuan itu, Suriani turut memohon sokongan Koung Hiing bagi menempatkan Pejabat Pengeluar Pasport dan Unit Penguatkuasaan di bawah Jabatan Imigresen Bahagian Sarikei.
Menurut Suriani, penubuhan pejabat tersebut akan memudahkan penduduk Sarikei untuk memohon dan memperbaharui pasport dalam masa sehari tanpa perlu ke pejabat Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu.
Selain itu, Koung Hiing turut menerima surat permohonan peruntukan dana bagi Jawatankuasa Kebajikan dan Rekreasi Imigresen Sarikei (JKRIS) untuk menjalankan aktiviti kebajikan bagi kakitangan jabatan tersebut.
Beliau memberi jaminan untuk meneliti permohonan yang dikemukakan dan akan berusaha memastikan perkhidmatan imigresen di Sarikei terus dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat.
Oleh Earl Anek