PUSA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas yang dilaporkan hilang selepas disambar buaya, Khamis lalu, diperluaskan lagi lima kilometer hingga ke muara Sungai Undai.
Kawasan pencarian Sarkawi Talip, 61, dalam operasi yang sudah memasuki hari keempat semalam, kini meliputi lingkungan lima kilometer iaitu hingga ke muara sungai serta ke kawasan darat dari lokasi serangan mangsa.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, PBK1 Henry Jugah berkata, sebanyak 12 perahu dan bot dengan kekuatan seramai 50 orang yang digerakkan bagi SAR untuk menjejaki mangsa yang hilang pada petang Khamis lalu, masih lagi belum berjaya menjumpai mangsa.
“Sebelum ini pencarian di kawasan sungai dan darat.
“Namun apabila pihak kita tidak menjumpai mangsa maka kawasan pencarian kini diperluas sehingga muara Sungai Undai yang meliputi lingkungan lima kilometer dari lokasi serangan buaya.
“Operasi SAR juga turut memasuki beberapa sungai kecil di sekitar kawasan ini.
“Namun hingga sekarang belum ada tanda atau sebarang petunjuk mangsa ditemui,” ujar beliau.
Henry berkata, operasi SAR untuk hari berikutnya, dijangka akan diperkuatkan dengan lebih ramai penduduk yang akan turun secara sukarela dengan bot masing-masing apabila proses pencarian sudah semakin rumit kerana tempoh masa mangsa hilang sudah memasuki hari keempat.
Beliau berkata, seramai 50 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), penduduk kampung termasuk anggotanya telah mengambil bahagian dalam operasi SAR semalam.
Terdahulu, seorang lelaki warga emas, Sarkawi Talip, 61, dipercayai disambar buaya ketika sedang mengikat pokok rumbia yang ditebangnya di Sungai Undai dekat Kampung Tambak di sini, petang Khamis lalu.
Mangsa ketika kejadian yang berlaku sekitar 1.00 tengah hari itu, menjadi mangsa sang bedal ketika sedang mengikat rumbia yang turut disaksikan oleh rakannya yang berada berhampiran mangsa sebelum mereka menghubungi polis.
BBP Betong menerima panggilan daripada pihak Balai Polis Pusa yang memaklumkan kejadian itu sekitar 3.45 petang Khamis bagi bantuan mencari dan menyelamat mangsa.
Oleh Adi Safarman