KUCHING:Kempen untuk merancakkan ekonomi domestik perlu dipergiat dan diperkukuhkan secara komprehensif kerana cabaran globalisasi perniagaan kini banyak menyumbang kepada pembelian barangan daripada luar negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, langkah kerajaan untuk memperkasakan perbelanjaan dalam negara menerusi inisiatif seperti Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Jualan Malaysia ini adalah bertepatan dan sangat signifikan bagi mengimbangi cabaran serta tekanan globalisasi ekonomi semasa.
“Ia untuk merancak dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan,” katanya ketika berucap pada Program Citarasa Malaysia @ Bumi Kenyalang 2020 di sebuah pusat beli-belah, semalam.
Tambahnya, promosi barangan buatan tempatan secara terus kepada pengguna terbukti dapat meningkatkan kesedaran tentang kewujudan dan kualiti produk buatan tempatan.
“Perkembangan sektor perdagangan dalam negeri khususnya dalam bidang peruncitan berikutan permintaan domestik yang tinggi akan turut memberikan kesan limpahan yang mana ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.
“Secara umumnya, kedudukan ekonomi Malaysia dan tahap sosioekonomi rakyat adalah baik dan ini dapat dibuktikan melalui kehidupan seharian pada masa ini dan kita dapat lihat ramai rakyat kita kini, semakin baik kualiti kehidupan mereka,” ujarnya.
Kempen Beli Barangan Malaysia
Jelasnya lagi, Kempen Beli Barangan Malaysia adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam usaha untuk menangani kos sara hidup rakyat yang juga menjadi antara fokus utama inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Dalam menjayakan usaha ini, semua pihak perlu berganding bahu untuk menjayakan kempen yang berorientasikan kepenggunaan seperti ini terutamanya dalam usaha untuk meningkatkan pembelian barangan buatan Malaysia bagi membantu merangsang pertumbuhan ekonomi industri tempatan dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada produk import,” katanya.
Sehubungan itu, pada tahun lalu jumlah jualan keseluruhan yang dicatatkan bagi Kempen Beli Barangan Malaysia adalah berjumlah RM513 juta iaitu peningkatan sebanyak 23.3 peratus dari 2018.
Pada tahun ini, sama sebagaimana pada tahun sebelumnya, kerajaan telah memberikan mandat kepada KPDNHEP untuk melaksanakan secara agresif sebuah kempen khusus untuk memupuk kesedaran rakyat Malaysia bagi mempertingkatkan penggunaan barangan tempatan.
“Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk menyemai semangat patriotisme dan rasa bangga rakyat Malaysia terhadap barangan keluaran tempatan, yang saya rasakan sekarang ini sudah boleh berdiri sama tinggi dengan produk luar negara.
“Justeru, sekiranya semua rakyat Malaysia menyokong inisiatif ini dengan mempertingkatkan pembelian barangan tempatan, sudah tentunya ia akan merancakkan ekonomi domestik di negara ini, mempertingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) dan sekali gus mengelakkan pengaliran wang keluar dari negara ini,” tambahnya.
Beliau menggesa rakyat Malaysia agar mempertingkatkan semangat patriotisme terhadap negara kita Malaysia dan membantu membangunkan ekonomi negara dengan menunjukkan sokongan dalam mengutamakan barangan Malaysia dan memperbanyakkan berbelanja barangan tempatan agar ekonomi kekal berlegar di dalam negara tanpa banyak pengaliran wang keluar.
Oleh Nur Ain Otsman