
WELLINGTON: Lapisan ais yang mencair akan memperlahankan arus laut paling deras di dunia, menurut agensi berita Jerman dpa.
Arus Lingkar Kutub Antartik (ACC) boleh menjadi perlahan kira-kira 20 peratus menjelang 2050 dalam senario pelepasan karbon yang tinggi, menurut penyelidik dari Universiti Melbourne, Australia dan Pusat Penyelidikan NORCE Norway.
Lebih empat kali lebih kuat daripada arus teluk, ACC adalah bahagian penting dalam “tali sawat lautan” dunia, yang menggerakkan air di seluruh dunia yang menghubungkan lautan Atlantik, Pasifik dan Hindi.
Pencairan lapisan ais akan menyaksikan kemasukan air tawar ke Lautan Selatan, mengubah kemasinan dan peredarannya.
Mekanis bendalir Bishakhdatta Gayen, ahli sains iklim Taimoor Sohail dan ahli oseanografi Andreas Klocker, menganalisis simulasi lautan beresolusi tinggi dan simulasi ais di laut untuk mendiagnosis kesan perubahan suhu, kemasinan dan keadaan angin.
Gayen berkata lautan sangat kompleks dan seimbang.
“Jika ‘enjin’ arus ini rosak, mungkin terdapat akibat yang teruk, termasuk lebih banyak keragaman iklim, dengan keadaan yang lebih ekstrem di kawasan tertentu selain pemanasan global yang dipercepatkan disebabkan pengurangan kapasiti lautan untuk bertindak sebagai penyerap karbon.”
ACC berfungsi sebagai penghalang kepada spesies invasif dari benua lain untuk sampai ke Antartika. Apabila ACC perlahan dan lemah, terdapat kemungkinan yang lebih tinggi spesies itu akan memasuki benua Antartika yang lemah.
Sohail berkata diramalkan bahawa kelembapan akan serupa di bawah senario pelepasan yang lebih rendah, dengan syarat pencairan ais dipercepatkan seperti yang diramalkan dalam kajian lain.
“Perjanjian Paris 2015 bertujuan untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius di atas paras pra-industri. Ramai saintis bersetuju bahawa kita telah mencapai sasaran 1.5 darjah ini, dan ia mungkin menjadi lebih panas, dengan kesan aliran pada pencairan ais Antartika,” kata Sohail.
“Usaha bersepadu untuk mengehadkan pemanasan global (dengan mengurangkan pelepasan karbon) akan mengehadkan pencairan ais Antartika, mengelakkan kelembapan ACC yang diunjurkan.” – Bernama