
LOS ANGELES: Anora diumumkan menang Filem Terbaik pada Anugerah Akademi ke-97 di Teater Dolby, Los Angeles, di sini, hari ini.
Kemenangan itu mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu karya sinematik paling berpengaruh tahun ini.
Diarahkan oleh Sean Baker, Anora bukan sahaja memenangi kategori utama, tetapi juga meraih pengarah terbaik, penyuntingan terbaik dan lakon layar asal terbaik.

Dalam ucapannya selepas menerima trofi Oscar, Baker mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang terlibat dalam penerbitan filem tersebut.
Mikey Madison, pelakon utama dalam Anora, juga menang Pelakon Wanita Terbaik, menewaskan nama-nama besar seperti Demi Moore (The Substance) dan Cynthia Erivo (Wicked).
“Ini adalah impian yang menjadi kenyataan,” kata Madison.
“Saya membesar di Los Angeles, tetapi Hollywood selalu terasa jauh dari saya. Jadi, untuk berada di sini berdiri di dalam bilik ini hari ini sungguh luar biasa.”
Madison yang masih terkejut dengan kemenangannya, memberitahu wartawan di belakang pentas bahawa dia masih sedang memproses kemenangan yang kelihatan akan membuka pintu kerjaya — walaupun dia tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.
“Saya cuma tahu bahawa malam ini saya akan pulang ke rumah untuk berjumpa dengan anak-anak anjing baharu saya dan mungkin membersihkan kekacauan mereka,” katanya sambil ketawa.
Kemenangannya merupakan satu kejutan, kerana dia mengalahkan bintang mega 1990-an, Demi Moore.
Anora mengisahkan Ani Mikheeva, seorang penari bogel muda dari Brooklyn, yang hidupnya berubah drastik setelah bertemu dan berkahwin dengan Ivan “Vanya” Zakharov.
Perkahwinan mendadak mereka mencetuskan konflik dengan keluarga Vanya, terutama ibunya, Galina, yang berusaha membatalkan perkahwinan tersebut.
Cerita berkembang ketika Ani menghadapi cabaran dalam mempertahankan hubungannya di tengah tekanan daripada keluarga suaminya. Anora telah menerima pujian luas dan meriah Palme d’Or di Festival Filem Cannes 2024.
Filem The Brutalist arahan Brady Corbet tidak kurang hebat apabila berjaya meraih tiga trofi kemenangan menerusi kategori Sinematografi Terbaik, Skor Asal Terbaik (Daniel Blumberg) dan Pelakon Lelaki Terbaik (Adrien Brody).
Filem Emilia Perez yang mendapat 11 pencalonan terpaksa berpuas hati dengan dua kemenangan. Filem itu membawa pulang trofi bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonan Zoe Saldana dan Lagu Asal Terbaik (El Mal).
Manakala filem Wicked dan Dune: Part Two masing-masing memenangi dua anugerah dalam kategori Reka Bentuk Produksi Terbaik (Wicked), Kostum Terbaik (Wicked), Penataan Bunyi Terbaik (Dune: Part Two) dan Kesan Visual Terbaik (Dune: Part Two). – AFP