
SELANGAU: Kerja-kerja pembaikan Jalan Igu di Tamin sedang dilaksanakan dan akan disiapkan secepat mungkin, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang.
Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sibu, Ts. Chieng Siong Ming bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
“Saya tahu jalan ini amat penting kepada penduduk setempat. Oleh itu, saya telah mengemukakan aduan rakyat kepada pihak berkuasa dan berharap masalah ini dapat diselesaikan segera.
“Terima kasih kepada JKR Sibu atas kerjasama dalam memastikan jalan tersebut dibaiki demi keselamatan pengguna,” katanya.
Menurut beliau, kerja penyelenggaraan dan pembaikan perlu melalui prosedur yang ditetapkan oleh agensi berkaitan, yang memerlukan masa untuk diselesaikan.
Dalam pada itu, Gira menyeru Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) agar lebih peka terhadap permasalahan yang dihadapi penduduk di kawasan DUN Tamin.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap kali persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau akan terus membawa isu pembangunan infrastruktur, termasuk Jalan Igu, untuk perhatian kerajaan negeri.

“Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) Sarawak telah menjawab semua cadangan dan permintaan berkaitan jalan raya, dan setakat ini statusnya masih dalam proses,” ujarnya.
Sehubungan itu, Gira mengingatkan penduduk supaya tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang tidak berasas mengenai isu pembangunan jalan di kawasan itu.
“Sebarang maklumat harus diperoleh melalui saluran yang betul dan tidak disebarkan tanpa pengesahan kerana ia boleh menjejaskan hubungan baik antara rakyat dan kerajaan.
“Saya sebagai wakil rakyat di Tamin sentiasa berusaha membantu tanpa mengira fahaman politik kerana tanggungjawab utama saya adalah memastikan semua rakyat menikmati pembangunan,” katanya.
Oleh Tarani Lanting