
DALAM dunia yang semakin kompetitif, memiliki kelayakan akademik yang tinggi tidak lagi menjadi jaminan mutlak mencapai masa depan yang cerah. Ramai graduan menghabiskan bertahun-tahun menuntut ilmu dengan harapan dapat membina kerjaya yang stabil, tetapi realiti pasaran kerja sering kali jauh berbeza daripada jangkaan. Persoalannya, adakah usaha bertahun-tahun itu benar-benar membuahkan hasil?
Siapa sangka, setelah menghabiskan hampir seluruh zaman kanak-kanak, remaja dan awal 20-an dengan tekun menuntut ilmu, seseorang masih boleh berakhir dengan pengangguran—semuanya kerana satu perkara yang sering dipandang remeh: kekurangan pengalaman.
Realiti Pasaran Kerja: Pengalaman Melebihi Kelayakan Akademik?
Sejak sekian lama, masyarakat menganggap pendidikan sebagai kunci kejayaan. Ibu bapa menanam impian untuk melihat anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi demi masa depan yang lebih terjamin. Namun, sejauh manakah kepercayaan ini relevan dalam dunia hari ini?
Bertahun-tahun masa dan ribuan ringgit dilaburkan untuk pendidikan—bukan sahaja dalam bentuk yuran pengajian, tetapi juga perbelanjaan harian seperti penginapan, makanan dan keperluan asas lain. Semua ini dilakukan dengan harapan bahawa setelah bertungkus-lumus menghadiri kuliah yang melelahkan, menghadapi peperiksaan yang penuh tekanan serta menyiapkan tugasan yang bertimbun, mereka akhirnya akan memperoleh pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka. Namun, realiti pasaran kerja lebih mencabar daripada yang dijangka.
Lebih membimbangkan, semakin ramai graduan terpaksa bekerja dalam bidang yang langsung tidak berkaitan dengan pengajian mereka. Ada yang memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan, tetapi akhirnya menjadi jurujual. Ada pula yang memperoleh keputusan cemerlang sepanjang pengajian dan meraih pelbagai anugerah akademik, tetapi akhirnya terpaksa menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menyara hidup.
Perspektif graduan: Harapan dan kekecewaan
Seorang pereka grafik bebas berusia 25 tahun, Stephanie Diana Henry, berkongsi realiti mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
“Tanpa pengalaman, sangat sukar untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang ini. Banyak syarikat meletakkan pengalaman sebagai syarat utama sebelum seseorang dapat menembusi industri. Disebabkan itu, ramai graduan dalam bidang sama memilih untuk memulakan kerjaya sebagai pekerja bebas bagi mengumpul pengalaman industri sebelum memperoleh pekerjaan tetap.”
Selain mengharungi cabaran mendapatkan pekerjaan yang sesuai, Stephanie turut berdepan kesukaran menjana pendapatan yang stabil.
“Biarpun saya tidak begitu menggemari pekerjaan sambilan, saya tetap perlu meneruskannya untuk menampung keperluan harian dan menambah simpanan,” katanya.
Bagaimanapun, Stephanie tidak bersetuju dengan anggapan bahawa ijazah semakin tidak relevan pada masa kini.
“Bagi saya, kedua-duanya penting. Pendidikan membuktikan kelayakan seseorang manakala pengalaman menunjukkan usaha serta kesungguhan untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajian.
“Oleh itu, ambillah peluang semasa belajar untuk menimba pengalaman sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Seperti kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’.”

Sementara itu Adele Rissa, 27, turut berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan walaupun memiliki ijazah.
“Kalau saya tahu lebih awal tentang realiti ini, saya pasti akan lebih fokus untuk menguasai kemahiran baharu semasa di universiti. Tetapi, itu lebih mudah dikatakan daripada dilakukan.”
Menurutnya, selain persaingan sengit, faktor seperti rangkaian sosial yang lemah dan industri yang menawarkan gaji rendah turut menyumbang kepada kesukaran mendapatkan pekerjaan.
“Pada akhirnya, saya perlu membuat pilihan. Kalau tiada rangkaian sosial yang baik atau hanya bergantung kepada bakat sendiri, industri ini memang boleh menawarkan gaji yang rendah.”
“Kami Hanya Mahu Peluang”
Selain Stephanie dan Adele, seorang graduan baharu, 25, yang enggan mendedahkan namanya turut berkongsi pengalaman dan pandangannya terhadap pasaran kerja masa kini.
Ketika ditanya tentang perasaannya apabila menyedari bahawa ijazah sahaja tidak mencukupi untuk mendapatkan pekerjaan, beliau mengakui kecewa setelah menghabiskan enam tahun di universiti untuk memperoleh diploma dan ijazah, namun masih berdepan kesukaran memasuki pasaran kerja.


Walaupun masih menunggu peluang dalam bidang yang dipelajari, beliau tidak menolak kemungkinan menerima apa sahaja pekerjaan demi kelangsungan hidup.
“Buat masa ini, saya belum bekerja di luar bidang saya kerana baru sahaja menamatkan pengajian. Namun, saya sudah mula mempertimbangkan sebarang peluang yang ada untuk menyara diri,” katanya.
Mengenai isu keutamaan pengalaman berbanding kelayakan akademik, beliau berpendapat bahawa keadaan ini menimbulkan dilema bagi graduan baharu.
“Apa gunanya belajar bertahun-tahun jika kebanyakan organisasi enggan mengambil risiko menggaji graduan tanpa pengalaman? Adakah melatih kami terlalu membebankan? Jika majikan hanya mahukan pekerja berpengalaman, bagaimana graduan baharu mahu memulakan kerjaya?”
Beliau turut menggesa majikan agar lebih terbuka dalam memberikan peluang kepada bakat muda, dengan menegaskan graduan baharu hanya memerlukan ruang untuk membuktikan kebolehan. Menurutnya, golongan baharu membawa idea yang ‘segar’ dan semangat baharu yang berpotensi membantu perkembangan organisasi, namun tanpa peluang, keupayaan mereka tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Kesimpulan: Ke mana hala tuju graduan?

Persoalan sama ada ijazah masih relevan dalam dunia pekerjaan hari ini tidak mempunyai jawapan yang mudah. Walaupun pendidikan tinggi tetap penting, keperluan untuk memiliki pengalaman yang cukup sebelum menembusi pasaran kerja menjadikan perjalanan graduan lebih mencabar.
Graduan kini bukan sahaja perlu bersaing sesama sendiri tetapi juga dengan mereka yang sudah berpengalaman. Jika majikan terus mengutamakan pekerja berpengalaman tanpa memberi peluang kepada graduan baharu, masalah pengangguran dalam kalangan belia akan terus meningkat.
Mungkin sudah tiba masanya sistem pendidikan dan industri pekerjaan bergerak seiring bagi memastikan pelajar bukan sahaja mendapat ilmu, tetapi juga pengalaman yang mencukupi sebelum mereka menamatkan pengajian. Hanya dengan cara ini, masalah ketidaksepadanan antara pendidikan dan pekerjaan dapat dikurangkan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada generasi masa depan.
Oleh Amanda L.