


SARIKEI: Jambatan Batang Rajang (Jambatan Pasi) dan jalan raya dari Jalan Pasi di sini ke Tanjung Manis dibuka untuk digunakan oleh orang ramai selama dua minggu bermula 28 Mac (Jumaat) 2025 sempena Hari Raya.
Ini sekali gus membawa berita baik kepada mereka yang mendiami kawasan pesisiran Rajang, Pulau Bruit. Matu dan Daro kerana tidak perlu lagi ke Sibu jika menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo dari Kuching, Sri Aman, Betong atau Saratok.
Sebaliknya, mereka boleh meneruskan perjalanan dari Sarikei terus ke Tanjung Manis yang dijangka memakan masa hanya kira-kira 45 minit, berbanding dua hingga tiga jam perjalanan jika terpaksa melalui Sibu seperti sekarang termasuk untuk ke Daro.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata tempoh dibuka itu adalah sempena Hari Raya.
“Bermakna, 28 Mac ini, insya-Allah dalam tempoh dua minggu ia dibuka. Jika Hari Raya pada 1 April… mungkin 14 April atau 15 April ia ditutup semula untuk penambahbaikan dan naik taraf bahagian jalan tertentu,” katanya.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak sebentar tadi, beliau berkata pembukaan sementara itu dipersetujui dan dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor.
Katanya, jambatan dan jalan tersebut dibuka sementara bagi memberi ruang kepada orang ramai meraikan Hari Raya dan bercuti atau berulang alik dari Tanjung Manis ke Sarikei.
“Perkara ini juga telah diumumkan semula oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Daro… kita buka jambatan serta jalan raya ini untuk tempoh dua minggu bermula 28 Mac kerana masih ada perkara-perkara yang perlu ditambah.
“Jadi, untuk kemudahan sementara sempena Hari Raya, mereka (JKR dan kontraktor) bersetuju jambatan dan jalan raya ini boleh digunakan…hanya terdapat bahagian jalan tertentu sahaja yang perlu dinaik taraf sikit.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, kemajuan projek pembinaan jambatan dan jalan raya tersebut memuaskan.
Menjawab soalan Utusan Sarawak, katanya, untuk perancangan jangka panjang mungkin akan terdapat kemudahan-kemudahan sampingan untuk keselesaan pengguna jalan raya tersebut.
“Kerana kita tahu seberang Sarikei di kawasan Nyelong, terdapat pembangunan seperti perumahan dan sebagainya…ia juga sudah kita kenal pasti bagi membangun prasarana lain untuk kemudahan awam jangka panjang,” katanya.
Baru-baru ini. Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek itu merupakan sebahagian daripada projek jalan pesisir negeri, akan mengurangkan jarak dan masa perjalanan dengan ketara.
Projek bernilai RM321 juta ini dijangka akan membawa perubahan besar kepada penduduk setempat.
Setelah projek siap sepenuhnya nanti, jarak perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis akan berkurang kepada 50 km dengan masa perjalanan hanya kira-kira 45 minit.
Ini jauh lebih singkat berbanding laluan semasa yang melibatkan jarak 141 km dan mengambil masa lebih dua jam setengah melalui Sibu.
Oleh Earl Anek