PAKAN: Tuai Rumah Matthew Brundang, 38, secara rasmi menerima lantikan sebagai tuai rumah baharu bagi rumah panjang di Nyalak Atas pada 27 Februari 2025.
Pelantikan ini dibuat selepas beliau dipilih sebagai tuai rumah menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada 11 November 2024 yang dihadiri oleh semua penduduk rumah panjang bagi meneruskan kepimpinan mendiang Tuai Rumah Tukang Anak Jarah.
Katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak pagi tadi, sebelum dilantik sebagai tuai rumah, beliau merupakan Setiausaha JKKK rumah panjang tersebut serta membantu pentadbiran tuai rumah terdahulu.
Matthew pernah berkhidmat sebagai wartawan sambilan di sebuah media tempatan dari 2020 hingga awal 2024, menulis berita dalam bahasa Iban dan Melayu.
Minat dalam dunia kewartawanan telah memberikan beliau kelebihan dalam memahami kepentingan komunikasi dan penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat.
Matthew mengakui bahawa amat terkejut dan pada masa sama turut bersyukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh penduduk rumah panjang dan wakil rakyat untuk berkhidmat sebagai tuai rumah.
“Saya akan mengoptimumkan kebolehan saya dalam kepimpinan serta mengadaptasikan pentadbiran rumah panjang ke arah dunia digital, di samping mengekalkan nilai tradisional dan adat istiadat Iban.
“Saya juga akan merujuk kepada tuai rumah atau ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) yang lebih berpengalaman bagi memahami selok-belok pentadbiran dengan lebih mendalam,” katanya.
Beliau turut berkongsi visi untuk memastikan pembangunan mampan bagi penduduk rumah panjangnya di Nyalak Atas.
Jelasnya, fokus utama adalah dalam aspek pendidikan anak-anak rumah panjang serta memperkasakan ekonomi penduduk dengan usaha membina jalan kebun untuk pertanian.
“Permohonan untuk membina jalan kebun telah saya kemukakan kepada pihak kementerian dan mendapat maklum balas positif. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak kementerian tersebut.
“Saya percaya, kami di Nyalak Atas akan dapat mengusahakan penanaman kelapa sawit dan lada untuk meningkatkan pendapatan dengan terbinanya jalan kebun nanti.
“Jika ekonomi penduduk rumah panjang diperkasakan dan ditingkatkan, saya percaya lebih ramai ibu bapa mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah hingga ke peringkat tinggi,” katanya.
Matthew juga menyedari cabaran besar dalam mentadbir rumah panjang di era moden ini.
“Saya akan mengadunkan kaedah pentadbiran tuai rumah terdahulu dengan elemen moden yang lebih sistematik dan berpandukan konsep kepimpinan masyarakat Iban,” katanya.
Beliau turut menekankan usaha memperkasakan JKKK, Biro Wanita, serta masyarakat rumah panjang secara keseluruhan.
Matthew juga berharap para wanita di rumah panjangnya yang mahir menghasilkan kraftangan menerapkan elemen digital dalam pemasaran kraftangan mereka agar dapat dipasarkan lebih luas.
Dari segi adat dan budaya, Matthew telah menetapkan hala tuju pemeliharaan warisan menerusi Pelan Tindakan Pembangunan Kampung (PTPK) Nyalak Atas 2025-2030.
Katanya, pelan ini bertujuan memastikan adat istiadat rumah panjang terus dipelihara serta merancang program kebudayaan bagi memartabatkan adat Iban.
“Rumah panjang kami di Nyalak Atas kini dihuni oleh sekitar 170 orang penduduk dengan 25 buah pintu bilik.
“Dalam usaha meningkatkan infrastruktur dan kesejahteraan penduduk, saya berharap akan ada berita baik daripada pihak kementerian mengenai pelbagai projek pembangunan yang dirancang.
Dengan mandat yang diberikan oleh penduduk, Matthew Brundang bertekad untuk membawa perubahan positif serta memastikan rumah panjang Nyalak Atas terus maju seiring dengan peredaran zaman, tanpa meninggalkan nilai-nilai tradisi yang menjadi warisan turun-temurun masyarakat Iban.
Utusan Sarawak turut berpeluang melihat sendiri seorang wanita Rumah Matthew Brundang iaitu Rundin Snib sedang menghasilkan kraftangan manik tradisional masyarakat Iban iaitu ‘Tangu’ atau ‘Marik Empang’.
Hasil kraftangan yang dihasilkan oleh Rundin sangat cantik dan menarik serta boleh mendapat sambutan menggalakan sekiranya dipasarkan di pasaran.
Oleh Earl Anek