
ROBAN: Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak enam hari lepas selepas keluar dari Rumah Luang Empaong dengan berjalan kaki hendak ke Pasar Roban pada 23 Februari lalu akhirnya terungkai, apabila dia ditemui selamat pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata mangsa, Kamoi Paun telah ditemui oleh penduduk kampung yang turut bersama mengikuti operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam jarak 300 meter daripada Rumah Luang, Empaong, sekitar 9.00 pagi.



“Sekitar 9.10 pagi, terima panggilan daripada orang kampung memaklumkan mangsa yang dikhuatiri hilang iaitu Kamoi Paun telah dijumpai selamat oleh penduduk kampung yang turut bersama mengikuti SAR dalam jarak 300 meter daripada Rumah Luang, Empaong.
“Mangsa dalam keadaan lemah serta mengalami luka di bahagian kaki dan tangan.
“Mangsa seterusnya dibawa oleh pasukan SAR menggunakan pengusung ke rumah panjangnya sementara menunggu ketibaan ambulan Hospital Saratok,” katanya.
PGO berkata sekitar 11.46 pagi, sebaik tiba di rumah panjang tersebut, mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulan Hospital Saratok untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, mangsa menyedari telah tersesat di hutan tersebut dan mengakui hanya minum air di Sungai Roban dan memakan gula-gula yang dibawa olehnya.
“Berikutan penemuan mangsa itu, SAR di Rumah Luang Empaong Roban yang telah dilancarkan sejak 24 Februari lalu oleh agensi penyelamat serta penduduk kampung, ditamatkan sekitar 11.50 pagi,” katanya.
Terdahulu, mangsa yang berusia 69 tahun itu mempunyai masalah kesihatan iaitu merupakan seorang pesakit darah tinggi dan lemah jantung.
Semasa kejadian, mangsa mengenakan baju hitam lengan pendek dan berseluar hitam pendek.
Oleh Adi Saparman