



KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Baru di sini menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh keberkatan melalui satu majlis yang diadakan di Masjid Darul Naim Baru, petang tadi.
Majlis yang dihadiri penduduk setempat itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, termasuk bertukar dulang makanan sedekah, ceramah agama, serta sesi berzikir dan tahlil.
Menurut penduduk kampung, Muhamad Emu, 57, majlis itu diadakan setiap tahun bagi mempereratkan hubungan silaturahim dan meningkatkan kesedaran tentang kelebihan Ramadan.
“Tradisi bertukar dulang makanan sedekah bukan sahaja menggalakkan amalan bersedekah, tetapi juga mengekalkan semangat kejiranan dalam komuniti kita,” katanya.
Selain itu, ceramah agama yang disampaikan oleh Timbalan Imam Besar Sarawak, Ustaz Mohammad Ihsan Haidzir, menekankan kepentingan ibadah puasa dan amalan kebaikan sepanjang Ramadan.
Majlis diakhiri dengan sesi zikir dan tahlil bagi memohon keberkatan serta kesejahteraan seluruh penduduk kampung.
Penduduk kampung berharap agar program seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai persiapan menyambut Ramadan dengan penuh keinsafan dan kegembiraan.
Oleh MASRIN AFFIRAH