BELAGA: Program Adventure Penan: Penjelajahan Lasak ke Lusong Laku anjuran Kelab Belia, Sosial dan Komuniti (KBSK) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) menghimpunkan 28 pelajar, lima pensyarah, serta pasukan ‘off-road’ dari Belaga, Bintulu, Kuching, Brunei, Miri, dan Niah dalam satu misi mendekati masyarakat Penan, baru-baru ini.
Menurut kenyataan UPMKB, program tersebut bertujuan memahami budaya serta cabaran kehidupan masyarakat pribumi di pedalaman Sarawak, selain menjalankan aktiviti sukarelawan bagi membantu komuniti setempat.
Program selama tiga hari dua malam ini diketuai oleh Pengarah Program, Merena Linda Toni, yang memaklumkan bahawa para peserta mengadakan tinjauan sosial ke Uma Penan serta bergotong-royong menceriakan kawasan Sekolah Kebangsaan Lusong Laku bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik untuk murid-murid.
“Program ini sangat bermakna kerana selain menguji keupayaan fizikal peserta, ia juga memberi pengalaman sukarelawan yang memberi impak positif kepada masyarakat pedalaman,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPMKB, Dr Yasmin Yaccob berkata, program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tentang kehidupan komuniti luar bandar, tetapi juga melengkapkan komponen Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda bagi ahli kelab.
“Program ini bukan sekadar aktiviti penjelajahan, tetapi juga satu usaha memupuk nilai kepedulian dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar IPT bagi mengukuh jalinan integrasi dengan komuniti,” katanya.
Antara pengisian program termasuk penyampaian bakul makanan, pemeriksaan kesihatan percuma dengan kerjasama Klinik Kesihatan Lusong Laku, promosi pendidikan UPMKB, serta aktiviti gotong-royong bersama komuniti Uma Penan.
Program berkenaan turut mendapat sokongan pasukan off-road 4×4 Belaga dan Pusat Khidmat Rakyat Murum, yang membantu memastikan perjalanan ke kawasan pedalaman sejauh 290 kilometer (km) dari UPMKB berjalan lancar.
Kejayaan Program Adventure Penan itu diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif sukarelawan pada masa hadapan dalam usaha membantu dan memperkasa komuniti pedalaman di Sarawak.
Oleh Carolyne Utih