
Abang Johari menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd (Press Metal) hari ini.
KUCHING: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd (Press Metal) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan kemudahan pembuatan bingkai solar yang akan ditempatkan di Bintulu.
Majlis yang disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hotel Raia Kuching ini menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab industri serta memperluaskan peranan Malaysia dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di peringkat global.
Projek ini melibatkan pelaburan dianggarkan bernilai RM600 juta, dengan struktur pemilikan sebanyak 80 peratus oleh Press Metal dan 20 peratus oleh BDA.
Modal permulaan akan disuntik sebanyak 20 peratus, manakala baki selebihnya akan dibiayai melalui pinjaman berjangka.
Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh kedudukan global Press Metal sebagai pembekal utama bingkai aluminium bagi industri solar.
Projek ini juga akan memperluaskan operasi pembuatan syarikat dari Nilai ke Bintulu, menjadikan Sarawak sebagai pusat industri yang lebih kompetitif.
Selain itu, usaha ini selari dengan visi ekonomi negeri dalam menarik lebih banyak pelaburan hiliran bagi memperkasa sektor pembuatan.
Melalui sinergi dengan BDA, projek ini dijangka dapat dipercepatkan dari segi kelulusan kawal selia dan pelaksanaan.
Sarawak turut menawarkan kelebihan daya saing kos melalui kadar utiliti yang lebih rendah, termasuk elektrik, air, dan gas, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan.
Dengan integrasi rantaian bekalan dari operasi peleburan Press Metal di Samalaju, kos pengeluaran juga dapat dikurangkan.
Kerjasama ini dijangka memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi dan perindustrian di Sarawak, menjadikan negeri ini sebagai hab strategik bagi pelaburan tenaga boleh diperbaharui.
Di samping itu, ia juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada tenaga kerja tempatan, selain menyokong pertumbuhan industri jangka panjang dan kepelbagaian ekonomi di rantau ini.
Oleh Amanda L.