
ENGKILILI: Komuniti Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili tidak pernah dilupakan dan terpinggir daripada setiap pelaksanaan projek pembangunan atau bantuan dijalankan oleh kerajaan Sarawak.
Malah kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa, komuniti Cina sentiasa diberi keutamaan dalam setiap agenda kerajaan sepertimana yang berlaku kepada kaum lain di Engkilili selama ini atau lebih tepat lagi semenjak beliau menjadi wakil rakyat.
“Komuniti Cina sepertimana kaum yang lain yang ada di Engkilili sememangnya tidak pernah ketinggalan daripada agenda dan projek pembangunan dijalankan kerajaan Sarawak selama ini, atau lebih tepat semenjak saya bergelar wakil rakyat di Engkilili ini.
“Ini adalah misi dan visi saya sejak bergelar wakil rakyat di sini adalah amat jelas iaitu ingin membangunkan Engkilili ini dengan tidak mengira sesuatu kaum, bangsa mahu pun agama di sesuatu kawasan.
“Kerana yang lebih penting bagi saya adalah kesejahteraan rakyat di Engkilili ini secara keseluruhannya adalah amat penting agar kita dapat berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan daerah lain yang ada di Sarawak terutamanya dari segi aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis ringkas penyerahan bantuan pertanian kepada pengusaha kebun buah-buahan, pekebun kecil sawit dan koko di Marup Atas di sini hari ini.
Tambahnya, komuniti Cina yang ada di Engkilili yang memerlukan bantuan berkaitan dan sebagainya daripada kerajaan Sarawak adalah disarankan agar tidak keberatan untuk hadir berkunjung dan berjumpa dengan pegawai bertugas di Pusat Khidmat DUN Engkilili untuk tujuan itu.
“Ingin saya tegaskan di sini juga, kepada komuniti Cina sekiranya kamu ingin memerlukan bantuan dan sebagainya baik ia dari segi projek atau sebaliknya, jangan malu untuk datang berbincang dengan pegawai yang bertugas pusat khidmat saya.
“Ini kerana, kami tidak tahu apa masalah atau bantuan yang kamu perlukan sekiranya tidak ada sebarang permohonan daripada anda semua atau tidak datang berjumpa pegawai di pusat khidmat,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, seramai 44 pengusaha kebun buah-buahan, pekebun kecil sawit serta koko daripada komuniti Cina Marup Atas telah menerima bantuan berupa racun rumpai masing-masing dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,000.
Peruntukan bantuan tersebut dilaksanakan menerusi peruntukkan geran program kecil luar bandar (MRP) DUN Engkilili bagi 2024 sebagai salah satu usaha untuk meringankan beban para pengusaha kebun buah-buahan, pekebun kecil sawit dan tanaman koko di Engkilili yang berhadapan dengan harga barangan tersebut yang agak tinggi ketika ini.
Dr Johnical turut mengumumkan peruntukan tambahan juga menerusi geran MRP beliau bagi 2025 sebanyak RM10,000 kepada jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) Cina Marup Atas bagi melaksanakan program penambah baikan prasarana di rumah penduduk yang memerlukan.
Turut hadir, Kapitan Kawasan Mawang Engkilili, Boong Boon Foong, wakil Komuniti Cina Marup Atas, Boon June, Pengerusi Persatuan Hakka Engkilili, Jee Jan Nam, Kapitan Kawasan Marup, Jew Sin Boon dan yang lain.
Oleh Adi Saparman