
KUCHING: Sarawak terus mencatat pertumbuhan positif dalam sektor pelancongan dengan rekod kehadiran 4.8 juta pelawat tahun lalu, melebihi sasaran awal sebanyak 4 juta.
Berikutan kejayaan ini, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan kini menetapkan sasaran baharu sebanyak lima juta pelawat bagi tahun 2025.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keyakinan terhadap sasaran ini berpandukan kepada trend peningkatan pelawat yang berterusan, termasuk lonjakan ketibaan pelancong dari Indonesia dan Brunei.
“Sejak 2022, kita sentiasa berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Tahun lalu kita sasar empat juta, tetapi berjaya mencapai 4.8 juta. Tahun ini kita tetapkan sasaran lima juta dan, insya-Allah, menjelang Disember kita akan capai angka itu,” katanya semasa sesi sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Negeri Sarawak di Hotel Raia Kuching, hari ini.
Selain itu, beliau mendedahkan bahawa jumlah resit pelancongan bagi Januari 2025 sahaja telah mencecah RM1.02 bilion, suatu pencapaian luar biasa bagi bulan yang kebiasaannya perlahan. Jumlah pelancong yang direkodkan untuk bulan itu melebihi 400,000 orang, menandakan permulaan yang kukuh bagi tahun ini.
“Paling mengejutkan, Januari lazimnya bukan bulan sibuk, tetapi kita berjaya meraih lebih RM1 bilion daripada sektor pelancongan dalam tempoh sebulan.
“Ini petanda baik bahawa kita berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran lima juta pelawat tahun ini,” tambahnya.
Abdul Karim turut menekankan bahawa manfaat pelancongan tidak hanya terhad kepada pendapatan negeri, tetapi memberi kesan langsung kepada rakyat.
Resit pelancongan yang tinggi bermakna lebih banyak wang mengalir ke sektor perhotelan, pengangkutan, restoran, gerai makanandan perniagaan kecil di seluruh Sarawak.
“Pendapatan pelancongan ini tidak masuk ke dalam kerajaan, sebaliknya terus ke tangan rakyat. Hotel, syarikat pengangkutan, pemilik homestay, restoran, semua merasai manfaatnya. Bila peniaga gembira, mereka tidak akan mengeluh,” jelasnya.
Menurutnya lagi, peningkatan mendadak pelancong dari Brunei dan Indonesia juga menyumbang kepada pertumbuhan ini.
Katanya, Sarawak kini mencatat lebih 200,000 pelawat dari Brunei setiap bulan, sementara kemasukan pelancong dari Kalimantan Barat turut menunjukkan lonjakan ketara.
“Kita dapat lihat banyak kenderaan dengan nombor plat ‘KB’ dari Kalimantan Barat memasuki Sarawak, terutama ketika musim perayaan dan acara besar.
“Peningkatan ini menunjukkan Sarawak semakin menjadi pilihan pelancong dari negara jiran,” ujarnya.
Dengan pertumbuhan pesat ini, kerajaan negeri yakin pelancongan akan terus menjadi sektor utama dalam merancakkan ekonomi tempatan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Oleh Amanda L.