
KUCHING: Sarawak terus menarik perhatian sebagai destinasi pelancongan perubatan utama di rantau ini dengan pembinaan tiga lagi hospital swasta di Kuching.
Perkembangan ini menunjukkan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti di negeri ini, terutamanya dalam kalangan pelawat dari Brunei dan Indonesia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pertumbuhan hospital swasta di negeri ini membuktikan kepercayaan tinggi terhadap fasiliti kesihatan yang ditawarkan.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun populasi Kuching dan kawasan sekitarnya kurang daripada sejuta orang, bandar ini sudah mempunyai lima hospital swasta yang berkembang pesat.
“Sekarang, akan ada tiga lagi hospital yang bakal dibina, termasuk Gleneagles, yang merupakan hospital bertaraf tinggi.
“Ini jelas menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan perubatan di Sarawak,” katanya semasa sesi sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Negeri Sarawak di Hotel Raia Kuching, hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa trend ini didorong oleh faktor kos dan kualiti rawatan yang kompetitif. Sebelum ini, ramai pesakit memilih untuk mendapatkan rawatan di Singapura, namun kadar tukaran mata wang yang tinggi mendorong mereka mencari alternatif yang lebih berpatutan.
“Rawatan yang ditawarkan di Sarawak berkualiti dan pada masa yang sama lebih berpatutan berbanding Singapura.
“Maklum balas positif daripada pesakit yang pernah mendapatkan rawatan di sini juga menjadi faktor utama peningkatan pelancongan perubatan,” jelasnya.
Selain itu, sektor pelancongan perubatan turut memberi impak positif kepada industri hospitaliti.
Pesakit luar negara yang datang untuk rawatan biasanya ditemani ahli keluarga, menyebabkan mereka perlu menetap di Sarawak untuk tempoh yang lebih lama. Hal ini secara langsung merancakkan industri perhotelan, pengangkutan, dan perniagaan tempatan.
“Dalam kes rawatan melibatkan pembedahan, pesakit perlu tinggal lebih lama untuk rawatan susulan dan pemulihan.
“Ini memberi manfaat besar kepada pengusaha hotel, homestay, restoran, dan pengangkutan kerana pesakit dan keluarga mereka akan membelanjakan wang sepanjang tempoh mereka berada di sini,” tambah Abdul Karim.
Melihat kepada perkembangan pesat ini, kerajaan negeri terus memberi sokongan kepada sektor pelancongan perubatan, termasuk memastikan ekosistem yang kondusif bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam industri kesihatan.
Oleh Amanda L.