
SIBU: Kerajaan Sarawak komited dalam memperkasakan pendidikan melalui pelaksanaan Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP), bertujuan untuk meningkatkan Gred Purata Negeri (GPN) Sarawak agar setanding dengan Gred Purata Nasional (GPN).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM20 juta untuk SEEP dengan menyasarkan pelajar yang mendapat markah 39 atau 40 markah dan ke bawah dalam peperiksaan.
Menurutnya, SEEP akan menumpukan kepada beberapa sabjek iaitu Tingkatan 3 Matematik, Bahasa English dan Sains manakala Tingkatan 4 Sains lima sabjek iaitu Fiziks, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan dan Matematik.
“Kita juga fokus kepada pelajar-pelajar yang lemah, jika pelajar ini dapat kita baiki saya rasa GPN akan bertambah baik pada masa akan datang.
“Kita mempunyai sasaran, pada tahun lepas pertama kalinya kita dapat mencapai GPN kurang daripada 5. Jadi, kita ingin mencapai dalam masa lima tahun bahawa sekurang-kurangnya setaraf dengan peringkat nasional iaitu dalam 4.5 macam itu, ini sasaran kita.
“Pada tahun lepas kita ada 58,000 pelajar dalam program ini. Dan kita minta juga kalau program ini dapat berjalan dengan baik, kita akan cuba melaksanakan untuk pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua,” katanya kepada pemberita.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka turut memberitahu, pelajar Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) ataupun bukan (YSISS) akan mendapat pendidikan percuma.
“Maksudnya, kalau pelajar-pelajar dari YSISS hendak belajar ke universiti tempatan ataupun universiti kepunyaan negeri Sarawak mereka akan diberi pendidikan percuma.
“Kita juga memberi pilihan kepada sesiapa pelajar YSISS yang mahu menduduki SPM, mereka akan dibenarkan untuk mengambil enam matapelajaran. Dan jika ini berlaku, mereka akan diberi latihan dan tunjuk ajar selepas Jun dan Julai pada tahun tersebut sebelum peperiksaan,” katanya.
Beliau juga memberitahu, kebanyakkan daripada silibus yang diajar dalam YSISS adalah setaraf atau lebih kurang dengan SPM.
“Mungkin bentuk soalan sahaja berbeza, sebab itu ramai pelajar dapat melakukan dengan baik dalam YSISS dan mereka juga dapat melakukan dengan baik dalam SPM.
“Untuk YSISS Sibu, kita sudah ada 100 pelajar, tapi pelajar itu sekarang ini kita letakkan di Kuching dahulu, dan pada bulan Jun ini selepas Gawai mereka akan berpindah ke Sibu,” kata beliau.
Terdahulu, Dr Annuar menyempurnakan majlis perasmian Program Promosi Pendidikan Sekolah Di Bawah Kerajaan Sarawak anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Selangau di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Selangau, Ringgit @ Gawan Saut, Pegawai Tadbir Khas Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Wes Mirid, Pengetua Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS), Jimali Sunang serta yang lain.
Oleh Akun Giman