

KUCHING: Kerajaan Persekutuan didesak supaya lebih peka terhadap sensitiviti budaya dalam penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024.
Aktivis muda merangkap ahli Kumpulan Penasihat Orang Muda UNICEF Malaysia (YPAG), Telford Engan Tan, 18, berkata definisi yang terlalu luas amat membimbangkan.
“Definisi kurang jelas boleh membawa kepada penapisan yang tidak adil, termasuk terhadap isu politik dan ekspresi budaya yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berada di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk menghadiri sesi Parlimen Malaysia.
Ketika sesi itu, Telford mempersoalkan kesan sampingan akta tersebut kepada Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Hak Kanak-Kanak, Rodziah Ismail, khususnya terhadap kebebasan bersuara dan ekspresi budaya masyarakat peribumi.
Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 digubal bagi melindungi golongan rentan daripada ancaman dalam talian.
Namun, Telford turut mempersoalkan bagaimana Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan Sarawak bagi memastikan penguatkuasaan akta ini menghormati kepelbagaian budaya serta ekspresi masyarakat peribumi.
Selain itu, beliau meminta penjelasan mengenai mekanisme semak dan imbang yang akan diwujudkan bagi mendefinisikan “kandungan berbahaya” dengan lebih jelas, terutama dalam konteks kewartawanan dan aktivisme, agar kesilapan seperti Operasi Lalang 1987 tidak berulang.
“Walaupun akta ini bertujuan melindungi masyarakat daripada ancaman dalam talian, saya bimbang definisi yang longgar dan pelaksanaan yang ketat boleh menjejaskan kebebasan bersuara serta menindas ekspresi budaya masyarakat peribumi.
“Sebagai rakyat Sarawak, saya terpanggil untuk menyuarakan kebimbangan ini.
“Dengan kepelbagaian budaya dan jumlah penduduk kira-kira 2.5 juta, ekspresi budaya masyarakat Sarawak, termasuk yang dipaparkan oleh personaliti media seperti Baby Shima dalam busana tradisional Iban, berisiko disalah tafsir dan disekat di bawah tafsiran samar konsep ‘tanggungjawab penjagaan’,” katanya.
Sebagai ahli YPAG UNICEF Malaysia, Telford menegaskan bahawa golongan belia Sarawak akan terus memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan hak dan identiti budaya negeri.
Katanya, rakyat Sarawak perlu bersatu dalam mempertahankan autonomi serta warisan budaya negeri agar tidak terjejas oleh sebarang bentuk penindasan atau sekatan yang tidak wajar.
Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 diluluskan Dewan Rakyat Disember lalu.