KUCHING: Lebih 200 peserta menghadiri Majlis Silaturahim al-Quran Sempena Ambang Ramadan 2025 “Jom Ngaji Rami-Rami” di Masjid Jamek di sini, hari ini.
Majlis tersebut dianjurkan Rumah Ngaji Dr. Fatimah dengan kerjasama Kolej SIDMA Sarawak, HIKMAH, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) dan Masjid Jamek Kuching.
Program hari ini merupakan ketiga untuk penutupan membaca dan menghafal Surah Al-Mulk setelah diadakan sebelum ini pada 4 Disember 2024 dan 8 Januari 2025 di Dewan Besar HIKMAH di sini.
Sebelum Khatam Al-Quran bermula, Tadabbur Surah Al-Mulk Siri Ketiga diadakan bersama Pengasas E-Tartil, Ustaz Sodikin Mohri dan Ustaz Solhi Sharif dari Life- Coach UWAiS Academy.
Turut membimbing bacaan Surah Al- Mulk ialah Ustaz Ahmad Muhammad dari Al Azhar Mesir.