
KUALA LUMPUR: AFFIN Group mencatatkan prestasi kewangan cemerlang bagi tahun kewangan 2024 (FY2024) dengan keuntungan sebelum cukai selepas zakat sebanyak RM701.0 juta, meningkat 35.3 peratus berbanding RM518.3 juta pada tahun sebelumnya.
Momentum pertumbuhan kumpulan ini turut disokong oleh lonjakan 8.1 peratus dalam pinjaman dan pembiayaan, yang kini berjumlah RM72.0 bilion, manakala jumlah aset direkodkan sebanyak RM111.8 bilion setakat 31 Disember 2024.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti kejayaan pelan strategik AFFIN Axelerate 2028 (AX28).
“AFFIN Group terus memperkukuh asas bagi pertumbuhan jangka panjang yang mampan.
“Keputusan ini mencerminkan pelaksanaan strategik AX28 yang berteraskan tiga tonggak utama, iaitu Perkhidmatan Pelanggan Tanpa Tandingan, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kumpulan telah melaksanakan Skim Persaraan Awal pada suku keempat 2024, yang melibatkan kos RM48.5 juta.
“Jika tidak mengambil kira kos sekali ini, keuntungan sebelum cukai operasi biasa meningkat kepada RM749.5 juta, iaitu kenaikan 44.6 peratus tahun ke tahun,” tambahnya.
Dalam usaha memperkukuh daya saing, kumpulan ini berjaya meningkatkan Margin Faedah Bersih (NIM) dengan pencapaian Akaun Semasa dan Simpanan (CASA) yang kini melepasi 30 peratus.
Beliau menambah bahawa AFFIN Group sedang mempercepatkan transformasi digital dengan pelancaran sistem teras digital baharu serta aplikasi mudah alih pada suku pertama 2025, yang dijangka melonjakkan pertumbuhan syarikat.
Sebagai langkah mengukuhkan nilai untuk pemegang saham, AFFIN Group turut mengumumkan cadangan Terbitan Bonus satu saham baharu bagi setiap 18 saham sedia ada.
“Permintaan tinggi terhadap saham AFFIN mencerminkan keyakinan pelabur, dan langkah ini akan membolehkan lebih ramai pemegang saham menikmati manfaat daripada pertumbuhan kumpulan,” katanya.