
KUCHING: Santubong International Nature Trail Run (SINTR) 2025 memperkasakan eko-pelancongan, dan sukan lasak di Sarawak.
SINTR 2025 berjaya menarik penyertaan seramai 360 peserta, termasuk pelari tempatan, dan antarabangsa dari Brunei, Indonesia, dan Netherlands.
Penganjuran acara tersebut dikendalikan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama Alpha Sports Event semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa, dan memainkan peranan penting dalam mempromosikan eko-pelancongan serta sukan lasak di Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) merangkap ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyatakan bahawa acara itu bukan sekadar satu pertandingan larian tetapi juga sebuah platform penting dalam memperkenalkan keindahan alam semula jadi Sarawak.
“SINTR bukan sahaja menguji ketahanan fizikal peserta tetapi juga memberi mereka peluang untuk menikmati keunikan ekosistem hutan hujan tropika yang masih terpelihara.
“Dengan peningkatan penyertaan dari pelari antarabangsa, saya yakin acara ini mampu berkembang dan menjadi tarikan utama bagi pelancongan sukan di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mencadangkan penambahan kategori jarak yang lebih jauh dalam usaha meningkatkan daya saing acara itu seperti Ultra Nature Trail Run (40km-100km) bagi menjadikannya setanding dengan larian ultra bertaraf antarabangsa.
Beliau menyatakan bahawa kategori itu bukan sahaja akan memberikan cabaran lebih besar kepada peserta tetapi juga berpotensi untuk mengangkat Sarawak sebagai destinasi utama bagi sukan lasak peringkat global.
“Kejayaan penganjuran kali ini, saya turut mencadangkan agar SINTR dijadikan acara tahunan seperti Kuching Marathon dan Rainforest World Music Festival.
“Ini bagi memberi peluang kepada peserta untuk membuat persediaan lebih awal serta meningkatkan jumlah penyertaan pada masa akan datang,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam memastikan kelancaran acara itu termasuk penganjur, sukarelawan, dan para peserta.
Dalam keputusan rasmi SINTR 2025, Oswald Maiko dari Sabah menjuarai kategori 20km Lelaki Terbuka, sementara Mailin Salugin dari Sabah memenangi kategori 20km Wanita Terbuka.
Bagi kategori 20km Lelaki Veteran, Jadvel dari Sabah muncul juara, manakala Farizah Sumping dari Sarawak mengungguli kategori 20km Wanita Veteran.
Turut hadir, Pengurus Besar SFC Abang Arabi Abang Aimran serta beberapa tetamu kehormat lain.