
SEJAK penubuhannya, Borneo Airways mula menunjukkan kemajuan dalam memberi khidmat sosial dan ekonomi kepada tiga wilayah jajahan British di Borneo.
Malahan ia juga mendapat sambutan mengalakkan daripada penduduk di tiga tanah jajahan British untuk menggunakan perkhidmatannya.
Setelah setahun lebih berkhidmat sebagai penerbangan udara bagi tiga wilayah jajahan British di Borneo, Borneo Airways telah menunjukkan prestasi yang memuaskan.
Menurut Pengerusi syarikat penerbangan ini, D. E. M. Fiennes dalam mesyuarat tahunannya menyatakan terdapat peningkatan penumpang sebanyak 35 peratus dalam laporan tahun kewangan 1959/60.
PERKEMBANGAN
Beliau menambah bahawa setakat 31 Mac 1960 kapal terbang syarikat ini telah mengangkut seramai 32,782 penumpang, manakala sebanyak 76 tan surat dan 187 tan kargo juga telah diangkut oleh perkhidmatan udara tersebut.
Laporan mesyuarat ini menyatakan bahawa lapangan terbang utama untuk operasi Borneo Airway adalah di Kuching, Sibu, Labuan, Jesselton (Kota Kinabalu), dan Sandakan Perkhidmatan penerbangan ini juga menjangkau sehingga Simanggang, Mukah, Bintulu, Lutong, dan Marudi di Sarawak.
Sektor lain pula adalah di Keningau, Ranau, Kudat, Lahad Datu dan Tawau di Sabah.
Terdapat juga penerbangan sewa khas ke Semantan, Long Akah dan Anduki. Beberapa landasan terbang juga dirancang pada 1960 untuk dibina.
CABARAN
Bagaimanapun, syarikat penerbangan ini mengalami kerugian pada awal perkhidmatannya. Syarikat tersebut telah mengalami kerugian sebanyak $174,342 melibatkan penyewaan pesawat dan faedah atas pinjaman.
Namun demikian kerajaan Sarawak tetap optimis bahawa syarikat penerbangan tersebut akan dapat mengatasi masalah kewangannya.
Hal ini dinyatakan oleh Setiausaha Kewangan Sarawak, B. A. Hepburn dalam menjawab soalan di Council Negri pada 1960.
Soalan ini diutarakan oleh salah seorang ahli Council Negri, Yeo Cheng Hoe apabila ada cadangan membentuk jawatankuasa tambahan perbelanjaan untuk membeli saham tambahan dari syarikat penerbangan tersebut.
Syarikat penerbangan itu juga tidak lari daripada masalah biasa bagi setiap syarikat penerbangan.
Salah satu masalah biasa dialami oleh syarikat penerbangan ini adalah kelewatan waktu penerbangan.
Hal ini diakui oleh Fiennes, dan beliau memohon maaf akan masalah tersebut.
Katanya, masalah kerosakan kapal terbang dan kekurangan kapal terbang merupakan sebab masalah ini berlaku.
Syarikat penerbangan ini juga tidak sunyi daripada mengalami masalah kemalangan.
Kejadian yang berlaku pada September 1963 melibatkan sebuah pesawat Twin Pioneer yang mendarat cemas di Sibu telah melencong ke kawasan penanaman yang telah dibersihkan.
Kawasan penanaman yang dibersihkan itu masih mempunyai tunggul kayu dan kawasan berpaya.
Namun demikian semua penumpang terselamat dalam pesawat tersebut termasuk seorang bayi berumur enam bulan yang sedang tidur nyenyak.
Hanya seorang penumpang mengalami kecederaan.
Pesawat tersebut yang terbang dari Mukah ke Sibu mengalami masalah kehilangan kuasa di salah satu enjinnya telah mengambil keputusan untuk mendarat cemas.
MEMPERKEMASKAN
Bagi memantapkan perkhidmatan udara syarikat penerbangan ini, satu rundingan dilakukan dengan Malayan Airways.
Rundingan ini penting kerana perkhidmatan yang ditawarkan oleh Borneo Airways hanya peringkat dalaman.
Oleh itu perlu satu penyelarasan dengan Malayan Airways untuk memastikan penumpang yang transit dapat meneruskan penerbangan dalaman selepas menggunakan khidmat Malayan Airways.
Dalam hal ini Malayan Airways telah memutuskan untuk menambah penerbangan ke Borneo.
Dalam usaha meningkatkan perkhidmatan udara oleh Borneo Airways pada 1961, mereka telah membeli kapal terbang jenis Dakota dari Malayan Airways.
Kapal terbang jenis Dakota ini telah diubahsuai dengan meletak lambang Borneo Airways pada badan kapal terbang tersebut.
KREATIVITI
Apabila Putera Phillip melawat Sarawak menggunakan kapal Diraja Britiannia, pihak Borneo Airways menawarkan kepada penduduk Kuching untuk melakukan tinjauan udara bagi melihat kapal Diraja itu.
Tawaran ini menggunakan dua kapal terbang Twin Pioneer.
Tawaran ini dibuat pada 26 Februari 1959 untuk membolehkan penumpang melihat pertunjukan bunga api dan pencahayaan di Kuching.
Perkhidmatan ini dirancang sebagai sebahagian daripada siri penerbangan khas, dengan penerbangan pertama dijadualkan dari 3.00 petang hingga 6.45 petang.
Dalam penerbangan ini mereka dikenakan bayaran sebanyak $20 seorang. Penerbangan pertama ini akan mengambil masa 30 minit untuk menyelusuri Sungai Sarawak dan akan dapat melihat kapal Diraja Britiannia dari udara.
Seterusnya penerbangan dibuat antara 7.30 dan 9.30 malam manakala penerbangan tinjauan udara selanjutnya, dan terakhir pada 11.30 malam.
Bagi dua siri penerbangan khas ini penumpang dikenakan bayaran sebanyak $10 seorang bagi tempoh selama 15 minit.
Dua siri penerbangan ini membolehkan penumpang menyaksikan pertunjukan bunga api dan pencahayaan di Kuching.
COBBOLD
Dalam usaha menjayakan pembentukan Malaysia, Borneo Airways memainkan peranan penting dalam menghubungkan ahli-ahli Suruhanjaya Cobbold ke kawasan pedalaman yang hanya boleh dihubungi oleh jalan udara.
Kapal terbang jenis Twin Pioneer kepunyaan Borneo Airways pernah membawa ahli-ahli suruhanjaya ini ke Sematan.
Borneo Airways juga pernah disewa untuk membawa penumpang menghadiri upacara pembentukan Malaysia di Tanah Melayu.
Kapal terbang jenis Dakota buat pertama kalinya menjalankan khidmat di luar Borneo dengan membawa 28 penumpang dari Jesselton.
Perkembangan perkhidmatan Borneo Airways setelah ditubuhkan menunjukkan ia tetap berdaya tahan walaupun mengalami cabaran aspek kewangan dan gangguan teknikal.
Malahan ia telah berkembang dengan baik dalam memberi khidmat di Borneo.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).