SAMARAHAN: Prinsip agama perlu terus dipertahankan oleh masyarakat Islam di Sarawak kerana ia menjadi asas dalam membangunkan negeri yang makmur, dan harmoni dalam kepelbagaian agama serta budaya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan kepentingan lima prinsip Maqasid Syariah dalam pembangunan negeri semasa menyempurnakan Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran ke-64 di sini, semalam.
Menurutnya, mempertahankan agama bukan hanya bermaksud menjaga ajaran Islam, tetapi juga memastikan kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk.
“Kita mahu pembangunan yang berlandaskan keadilan untuk semua rakyat,” katanya.
Sejajar dengan prinsip keadilan itu, beliau turut menekankan bahawa pelbagai inisiatif pembangunan Islam diperkenalkan termasuk penubuhan Sekolah Antarabangsa Islam dan Pusat al-Quran Darul Hana.
“Inisiatif-inisiatif tersebut termasuk penubuhan Sekolah Antarabangsa Islam dengan peruntukkan RM95 juta, telah mendapat sokongan penuh daripada semua menteri dalam kabinet negeri, termasuk yang bukan Islam.
“Ini bukti bahawa kerajaan Sarawak mengamalkan kepimpinan inklusif.
“Kita tidak hanya membangunkan satu golongan, tetapi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat.
“Kita mahu Sarawak terus maju dengan ekonomi yang kukuh serta hubungan sosial yang harmoni,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kesejahteraan bukan sahaja untuk umat Islam, tetapi juga masyarakat bukan Islam, agar negeri ini terus berkembang dengan aman dan makmur.
Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran yang sedang berlangsung menjadi platform bagi umat Islam di Sarawak memperkukuhkan pegangan agama serta menghayati ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian, sejajar dengan visi kerajaan negeri untuk membentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak tinggi.
Acara tahunan itu dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Samarahan serta agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Dengan tema ‘Sarawak Maju Makmur’, MTMQ 2025 bertujuan menyemarakkan semangat cinta terhadap al-Quran di samping melahirkan lebih ramai Qari, Qariah, Hafiz dan Hafizah yang berkaliber di Sarawak.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak merangkap Penasihat Majlis Tilawah Dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Ke-64 Datu Misnu Taha, Timbalan-Timbalan Menteri serta Dif-Dif kenamaan yang lain.
Oleh Masrin Affirah