BINTULU: Kerajaan Sarawak komited memastikan rumah-rumah ibadah terus diperkasa dengan infrastruktur yang lebih selamat dan selesa bagi kemudahan penganutnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, aspek keselamatan dan kebajikan rumah ibadah akan terus menjadi keutamaan termasuk menangani isu runtuhan tanah serta menaik taraf prasarana sedia ada.
“Saya telah turun padang meninjau kawasan tanah runtuh di belakang Gereja Methodist Ming Ong untuk menilai keadaan.
“Saya akan memastikan tindakan susulan dapat diambil segera bagi mengelakkan risiko lebih besar di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyatan menerusi hantaran di Facebook beliau.
Menurutnya, lawatan itu turut memberi ruang untuk meneliti kerja-kerja pembinaan bumbung laluan yang menghubungkan gereja dengan auditorium serbaguna.
“Berdasarkan perancangan pihak gereja, projek ini bukan sahaja menambah baik kemudahan sedia ada tetapi juga akan dilengkapi dengan koridor sejarah bagi memaparkan perjalanan gereja dari awal penubuhan hingga kini,” jelasnya.
Selain itu, kata beliau, pembangunan ruang menunggu dan bilik minuman berkonsep moden dan pelbagai fungsi akan memastikan kawasan berkenaan lebih kondusif untuk aktiviti riadah serta keagamaan.
Johnny Pang menegaskan bahawa pihaknya akan terus berusaha membantu organisasi keagamaan dalam menaik taraf kemudahan mereka.
“Saya juga akan bekerjasama dengan jabatan berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu runtuhan tanah ini demi keselamatan semua pihak,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih