
DARO: Pulau Bruit berpotensi dimajukan sebagai kawasan pengeluaran bekalan makanan utama di zon tengah Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata dianggarkan sekitar 800 hektar tanah di Pulau Bruit masih belum diusahakan, namun berpotensi untuk dibangunkan bagi aktiviti pertanian dan penternakan.
“Pulau Bruit mempunyai 13 penempatan dengan 1,004 pekebun yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman buah-buahan serta 870 pesawah padi.
“Secara keseluruhan, tanah yang diusahakan oleh pekebun dan pesawah padi di kawasan ini meliputi 1,211 hektar,” katanya kepada UKAS pada majlis Penyampaian Sumbangan Bulan Ramadan 2025 bagi masjid dan surau Kawasan DUN N42 Semop hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai potensi Pulau Bruit sebagai pengeluar bekalan makanan semasa majlis perasmian Jambatan Muara Lassa pada Sabtu lepas.
Datuk Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Semop menjelaskan bahawa walaupun Pulau Bruit memiliki tanah yang subur dan sesuai untuk aktiviti pertanian, masyarakat tani sering berdepan cabaran akibat kerosakan ban yang menyebabkan kawasan tanaman dan sawah terjejas.
“Sebanyak RM21 juta telah diluluskan oleh Premier Sarawak dan disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran JPS untuk projek membaiki ban pecah, namun masih banyak kawasan ban yang memerlukan perhatian dan tindakan segera,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa golongan petani di Pulau Bruit memerlukan sokongan kerajaan dalam bentuk khidmat nasihat pakar, bekalan benih berkualiti serta bantuan pembelian jentera pertanian bagi menyahut seruan Premier Sarawak dalam memperkasa pertanian moden.
Selain itu, beliau juga telah membangkitkan kepada Premier Sarawak mengenai usaha menambah baik kemudahan untuk nelayan serta cadangan kepada menteri berkaitan bagi memperkembangkan program penternakan lembu dan kambing di Pulau Bruit.
Menurutnya, Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Bruit PNK mempunyai lebih 2,000 ahli, dengan sekitar 900 daripadanya adalah nelayan aktif.
“Dengan siapnya Jambatan Batang Paloh dan Muara Lassa yang menghubungkan Pulau Bruit, masyarakat setempat kini lebih mudah dan cepat untuk membekalkan serta memasarkan hasil laut dan pertanian ke pasaran luar,” tambahnya.
Mengulas mengenai sumbangan Ramadan, Datuk Abdullah berkata ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kemudahan ibadah di kawasan DUN Semop sentiasa terjaga dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang bulan suci ini.
Katanya, penerima sumbangan terdiri daripada jawatankuasa pengurusan masjid dan surau yang bertanggungjawab menguruskan dana tersebut bagi memastikan aktiviti keagamaan berjalan lancar serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Sumbangan ini juga merupakan inisiatif kerajaan dalam memperkukuh peranan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan sosial dan keagamaan dalam komuniti,” jelasnya.
Sebanyak 17 masjid dan sembilan surau dalam kawasan DUN Semop menerima sumbangan berjumlah keseluruhan RM34,500, yang disampaikan di empat lokasi utama iaitu Masjid Kampung Penipah, Masjid Kampung Betanak, Dewan Kampung Semop dan Dewan Masyarakat Kampung Melayu Bintangor. – UKAS