
KUCHING: Keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Taman Matang Jaya menerima bantuan segera daripada Kerajaan Sarawak serta pelbagai pihak bagi meringankan beban mereka selepas tragedi yang memusnahkan kediaman mereka.
Kebakaran yang berlaku kelmarin menyebabkan keluarga tersebut kehilangan tempat tinggal serta harta benda, selain turut menjejaskan tiga rumah berdekatan.
Pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian, namun tiada kecederaan serius dilaporkan.


Sebagai langkah segera, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, turun padang menziarahi mangsa dan menyampaikan bantuan keperluan asas serta sokongan moral.
“Kerajaan komited untuk memastikan mangsa mendapat tempat perlindungan sementara serta bantuan keperluan asas bagi membantu mereka dalam tempoh pemulihan ini,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke lokasi kejadian hari ini.
Buat sementara waktu, keluarga terjejas ditempatkan di Bilik Kuliah Masjid Al Abyad, Taman Matang Jaya.
Selain bantuan kerajaan, pelbagai badan bukan kerajaan NGO serta sukarelawan dari komuniti setempat turut menghulurkan bantuan berupa makanan, pakaian, dan barangan keperluan harian.
Beberapa pihak juga tampil memberi sumbangan kewangan bagi membantu keluarga mangsa membina semula kediaman mereka.
Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, Dato Fazzrudin berharap keluarga yang terjejas dapat kembali bangkit dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik. – UKAS