
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus berusaha membasmi kemiskinan melalui strategi intervensi bersasar bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, menyatakan keyakinan bahawa kadar kemiskinan di negeri ini dapat dikurangkan dengan pendekatan makro serta pengesahan data yang menyeluruh.
“Kita yakin bahawa selepas berjaya menghapuskan miskin tegar tahun hadapan, tumpuan akan diberikan kepada golongan miskin secara keseluruhan.
“Dengan usaha berterusan, kita pasti dapat menurunkan kadar kemiskinan di Sarawak,” katanya dalam sidang media mengenai Pembasmian Miskin Tegar di Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri, termasuk oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memberi kesan positif terhadap ekonomi rakyat.
Menurutnya, program pembangunan makro ini telah membantu meningkatkan pendapatan isi rumah serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada golongan berpendapatan rendah.
“Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di Sarawak ditetapkan pada RM2,618 bagi kategori miskin dan RM1,298 bagi miskin tegar.
“Oleh itu, kerajaan negeri memberi keutamaan dalam mengenal pasti individu serta keluarga dalam kategori ini melalui sistem eKasih,” katanya.
Fatimah turut menekankan bahawa data yang diperoleh dari eKasih akan melalui proses verifikasi ketat bagi memastikan hanya mereka yang layak menerima bantuan.
Proses ini, jelasnya, melibatkan pemimpin komuniti seperti ketua kaum dan ketua masyarakat yang lebih memahami keadaan sebenar penduduk setempat.
“Apabila kita menerima angka awal, langkah pertama yang diambil adalah pengesahan. Kita perlu memastikan sama ada individu tersebut benar-benar berada dalam kategori miskin tegar atau tidak.
“Sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk bagi meneliti dan mengesahkan status mereka,” tambahnya.
Kerajaan Sarawak juga memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan, termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), yang bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna bagi keluarga kurang berkemampuan.
Melalui skim ini, mereka yang memerlukan dapat membeli keperluan asas seperti beras dan gula tanpa memberi tekanan besar kepada kewangan mereka, katanya.
Dalam usaha mencapai sasaran sifar miskin tegar, kerajaan negeri turut menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberikan impak yang diharapkan.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan bersepadu antara pelbagai agensi kerajaan akan terus diperkukuh bagi mempercepatkan usaha membasmi kemiskinan di negeri ini.
“Kami percaya bahawa dengan pembangunan makro serta pendekatan yang sedang dilaksanakan, kita mampu menurunkan kadar kemiskinan secara keseluruhan.
“Matlamat utama adalah memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir daripada menerima bantuan dan sokongan yang sepatutnya,” tegasnya.
Turut hadir, Setiausaha Tetap KPWK, Datu Felicia Tan Ya Hua serta tetamu lain. – UKAS