PETRA JAYA: Sarawak akan menjadi tuan rumah Kejohanan Kelayakan Asia/Oceania Billie Jean King Cup Juniors dan Davis Cup Juniors 2025 yang akan berlangsung dari 2 hingga 16 Mac 2025 di Pusat Tenis Persatuan Tenis Lawn Sarawak (SLTA).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kejohanan ini membuktikan kepercayaan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) terhadap keupayaan SLTA sebagai penganjur bertaraf antarabangsa.
“Sekali lagi, kita menjadi tuan rumah kejohanan tenis antarabangsa, dan saya berterima kasih kepada ITF atas keyakinan mereka terhadap SLTA,” katanya dalam sidang media bersama Persatuan Tenis Lawn Sarawak (SLTA) di Wisma Baitul Makmur, hari ini.
Sebanyak 25 negara dengan 37 pasukan akan bertanding, melibatkan 148 pemain serta lebih 200 pengunjung antarabangsa ke Kuching.
“Kehadiran mereka bukan sahaja memeriahkan kejohanan, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antarabangsa melalui semangat kesukanan,” tambahnya.
Beliau turut mengumumkan bahawa ITF telah menyediakan geran berjumlah USD 59,200 (RM260,000) bagi membantu penyediaan pengangkutan, makanan, dan penginapan pasukan bertanding.
Menurutnya, SLTA menunjukkan komitmen tinggi dengan menerima cabaran menjadi tuan rumah walaupun kejohanan berlangsung dalam bulan Ramadan.
Selain manfaat kepada pembangunan tenis, beliau berkata kejohanan ini turut memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi Sarawak.
Oleh Amanda L.