KUCHING: Program ‘One Day Charity Trip’ anjuran pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) Young Malaysian Movement (YMM) menyediakan platform untuk mengeratkan lagi perpaduan sesama komuniti dan golongan belia secara kolektif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How berkata belia memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negeri ini khususnya dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.
“Semangat saling membantu tanpa mengira latar belakang, agama dan juga bangsa seperti inilah yang kita perlukan kerana kita semua merupakan satu keluarga besar.
”Dengan pelaksanaan program amal seperti ini, YMM menunjukkan contoh baik dan sihat kepada golongan belia berkenaan semangat perpaduan dan kebersamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ‘One Day Charity Trip’ di Borneo happy Farm, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Andy Voon berkata objektif program tersebut ialah untuk menggalakkan keterangkuman dan perpaduan serta menyediakan ruang untuk pelbagai komuniti berinteraksi.
“Selain itu, untuk meningkatkan kesedaran sosial dengan memberi penerangan tentang cabaran yang dihadapi oleh golongan berisiko, mengukuhkan sokongan Komuniti dan mempromosikan kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.
YMM ialah platflom untuk golongan muda yang menganjurkan pelbagai aktiviti, seperti latihan kepimpinan, acara amal bagi memberi peluang kepada golongan muda untuk belajar dan menimba ilmu.
Turut hadir ialah Pengerusi YMM Cawangan Batu Lintang, Vincent Ng.
Oleh Rynna Sha’erra