
TERBABAS.....Lelaki maut apabila kereta dipandu terbabas sebelum naik ke atas pembahagi jalan dan melanggar tiang elektrik serta tiang lampu jalan di Jalan Awang Ramli Amit, malam tadi.
SIBU: Lelaki maut apabila kereta dipandu terbabas sebelum naik ke atas pembahagi jalan dan melanggar tiang elektrik serta tiang lampu jalan di Jalan Awang Ramli Amit, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, dalam kejadian sekitar jam 11 malam, mangsa berusia 24 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kemalangan berlaku ketika kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki tempatan dipercayai dipandu laju sehingga terbabas naik ke atas pembahagi tengah jalan dan melanggar tiang elektrik serta tiang lampu tengah jalan seterusnya terbalik ke kiri jalan,” katanya menerusi siaran media sebentar tadi.
Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut kes dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987 iaitu memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.