
KUCHING: Organisasi sukarelawan antarabangsa ’Save the Earth from A to Z’ (ASEZ) dan Kumpulan Sukarelawan Pelajar Universiti Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan bekerjasama bagi melaksanakan inisiatif penanaman pokok sebagai usaha melindungi hutan bakau di Sarawak dan Johor.
ASEZ menerusi satu kenyataan memberitahu aktiviti penanaman pokok yang berlangsung di Pantai Sejaie, Asajaya, hari ini melibatkan kira-kira 40 sukarelawan termasuk ahli ASEZ, keluarga dan rakan-rakan mereka.

Menerusi program tersebut, mereka menanam sebanyak 150 anak pokok bakau dengan bimbingan daripada wakil Jabatan Hutan Sarawak (JHS).
Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Datuk Peter Minos yang menghadiri program tersebut, acara itu menunjukkan sokongan padu golongan muda dalam usaha memelihara alam sekitar.
”Inisiatif golongan muda kali ini untuk menanam pokok adalah suatu perbuatan yang layak dipuji kerana memberi banyak berfaedah untuk persekitaran kita.
”Saya berharap sikap dan aktiviti seperti ini dapat diperluas dan diberbanyak lagi pada masa akan datang bagi memberi kesedaran kepada lebih ramai orang,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang sukarelawan ASEZ berharap program tersebut dapat membantu meningkatkan kehidupan penduduk setempat dan mencapai pembangunan wilayah yang mampan.
Katanya, program itu juga menyediakan ruang kepada para ahli untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat sekali gus menyokong usaha mereka untuk melindungi alam sekitar.
ASEZ dalam kenyataan sama memberitahu pada Ogos tahun lepas, ASEZ menanam 150 pokok di Kinarut, Papar, Sabah yang membantu dalam pencegahan bencana alam seperti banjir dan tsunami, serta membantu mengurangkan pelepasan karbon.
Oleh Rynna Sha’erra