
SARATOK: Projek membaik pulih jeti penambang yang terletak di seberang Pekan Saratok telahpun siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata pelaksanaan projek baik pulih jeti penambang itu menggunakan peruntukan program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah disiapkan oleh kontraktor yang dilantik melalui proses cabutan undi.
Beliau berkata projek membaik pulih jeti di pangkalan perahu tambang seberang Pekan Saratok itu telah disiapkan oleh kontraktor JAA Enterprise. Untuk makluman projek ini turut melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong selaku agensi pelaksana projek.

“Dengan siapnya kerja-kerja membaik pulih jeti ini, pastinya akan memberikan lebih keselesaan buat masyarakat di DUN Kalaka terutamanya yang menggunakan laluan tersebut.
“Beberapa bulan lalu, penduduk telah mengadakan gotong-royong membaiki jeti penambang sementara dan saya telah menyalurkan dana bagi membeli bahan binaan dengan kerjasama penduduk Kampun Kupang, keadaan jeti bertambah baik dan memberikan keselesaan kepada penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Duri menjelaskan bagi kerja-kerja membaik pulih Dermaga Komersial Saratok, kontraktor telah dilantik dan dalam proses pemasangan di kilang di Kuching dan akan disiapkan dalam masa yang terdekat.
“Saya berharap penduduk dari kampung serta rumah panjang sekitar kawasan tersebut bersabar kerana saya difahamkan kontraktor telah dilantik bagi kerja-kerja membaik pulih Dermaga Komersial Saratok dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, Mohamad Duri semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tahun lalu berkata, isu kerosakan jeti dermaga atau lebih dikenali sebagai Wap Jelatong oleh warga Saratok kini sudah semakin uzur.
“Jeti itu telah rosak teruk disebabkan oleh arus Sungai Krian yang kuat ketika air pasang besar dan bila-bila masa akan runtuh dan roboh,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat PBB Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad yang mewakili ADUN Kalaka telah menghadiri satu majlis ringkas serah tapak projek RTP siap baik pulih jeti tersebut diantara agensi pelaksana dan kontraktor.
Oleh Adi Saparman