
SIBU: Kira-kira 2,000 sukarelawan hadir dalam program Gotong-Royong Bersih Kubur yang berlangsung di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim, hari ini.
Program ini dianjurkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Sibu (LAKIS) dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Sibu dan Pejabat Residen Sibu.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, program ini melibatkan penyertaan 124 agensi persekutuan dan negeri di seluruh bahagian Sibu.
“Program ini diadakan sempena awal Ramadan bagi memastikan kawasan perkuburan sentiasa bersih dan terjaga.
“Antara aktiviti yang dijalankan termasuk membersihkan kawasan perkuburan, menebang pokok, memangkas dahan, menanam pokok bunga, mengecat serta membersihkan dinding,” katanya ketika ditemui pemberita.
Turut serta, wakil Residen Bahagian Sibu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Sibu, Nursyarmilla Jeruis, wakil Jabatan Agama Islam Sibu (JAIS) Ustaz Azhar Hipni dan Setiausaha LAKIS, Jamil Julaihi.
Oleh Tarani Lanting