

SIBU: Lebih 100 pelajar Tingkatan Lima dari 10 sekolah menengah sekitar Sibu berpeluang mendalami Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Program NextGen TVET @ PolyCC 2025 di sebuah hotel di sini, semalam.
Program yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Sarikei dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) serta beberapa rakan strategik lain, bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai prospek masa depan dalam bidang TVET.
Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kamaludin Daud, berkata inisiatif ini amat penting dalam usaha meningkatkan minat pelajar terhadap TVET sekali gus melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.
“Kejayaan program ini bergantung kepada sokongan padu institusi pendidikan, kerajaan dan sektor industri bagi memastikan ia terus relevan dalam memenuhi keperluan semasa,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Sarikei, Norasmah Jaafar, berkata TVET merupakan asas kepada pembangunan Sarawak sebagai negeri yang kompetitif dalam ekonomi global.
Menurutnya, TVET bukan sekadar memberi peluang kepada generasi muda menguasai kemahiran teknikal, malah turut menyokong aspirasi Sarawak dalam menjadi hab ekonomi digital dan teknologi.
Antara pengisian program adalah sesi taklimat oleh pakar industri, antaranya The Institution of Engineers, Malaysia (Sarawak Branch) yang berkongsi mengenai “Kejuruteraan & TVET: Membina Masa Depan Sarawak”, serta Infollective Solutions Sdn. Bhd. yang membincangkan topik “Masa Depan Digital: Transformasi Industri Melalui Automasi dan IoT”.
Selain itu, Pejabat Pendidikan Daerah Sibu turut menyampaikan pandangan mengenai laluan kerjaya dalam bidang TVET.
Majlis perasmian turut menyaksikan pertukaran Surat Hasrat untuk Kerjasama (LoI) antara Kolej Komuniti Sarikei dan tiga rakan strategik industri iaitu Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) cawangan Sarawak, Infollective Solutions Sdn. Bhd., dan Joy Bakery Sdn. Bhd. yang disaksikan oleh Kamaludin.
Kerjasama ini bertujuan memperkukuh jaringan antara institusi pendidikan dan industri, membuka peluang latihan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang TVET.
MEITD selaku penaja utama, bersama rakan strategik seperti Pusat Khidmat DUN N.55 Nangka dan Joy Bakery Sdn. Bhd., berharap program ini dapat menjadi platform terbaik dalam melahirkan generasi muda Sarawak yang berkemahiran tinggi, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran global.
Oleh TARANI LANTING