
MIRI: Persatuan Cosplay Miri kini secara rasmi berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), membuka lembaran baharu dalam landskap seni kreatif dan budaya pop di Sarawak.
Perkembangan ini dikongsikan oleh ahli jawatankuasa persatuan kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, dalam satu kunjungan hormat, semalam.
Dalam pertemuan di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau, Datuk Sebastian menyambut baik penubuhan persatuan itu dan percaya ia mampu merancakkan lagi aktiviti cosplay di Miri.
“Lebih daripada sekadar hobi, persatuan ini dapat membentuk generasi muda yang lebih yakin, kreatif dan berinovasi melalui ekspresi seni kostum serta karakter,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa dengan wujudnya persatuan ini, Miri bukan hanya dikenali sebagai bandar minyak atau pintu masuk ke destinasi pelancongan seperti Taman Negara Niah dan Mulu, tetapi juga berpotensi muncul sebagai pusat seni alternatif di Asia Tenggara.
“Inilah peluang untuk dunia melihat bakat dan kreativiti anak Sarawak dalam arus pemodenan. Semoga ia menjadi pemangkin kepada perkembangan seni kreatif negeri ini,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Cosplay Miri, Muhd Azruld Anan, berkata pihaknya merancang pelbagai program serta inisiatif sepanjang tahun, termasuk kerjasama dengan industri pelancongan Sarawak bagi menjadikan Miri sebagai destinasi pilihan peminat seni cosplay serantau.
Beliau menegaskan bahawa matlamat persatuan bukan sekadar menganjurkan acara atau pertandingan, tetapi untuk mencetuskan revolusi seni yang mengangkat cosplay sebagai elemen penting dalam industri kreatif negeri.
Dengan langkah ini, Persatuan Cosplay Miri bersedia membawa gelombang baharu dalam dunia seni dan budaya pop, sekali gus meletakkan Sarawak di peta kreatif rantau ini. – EDISI UKAS