KUCHING: Keberkesanan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dalam membantu penagih dadah pulih secara sukarela mendorong kerajaan Sarawak mengusulkan penambahan pusat pemulihan di negeri ini bagi memperluas akses rawatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata permohonan telah dikemukakan untuk mewujudkan pusat pemulihan baharu di Zon Tengah dan Zon Utara bagi menampung keperluan pemulihan yang semakin meningkat.
“Dengan keluasan Sarawak, hanya satu PUSPEN di negeri ini tidak mencukupi.
“Penambahan pusat pemulihan penting agar lebih ramai individu yang memerlukan bantuan dapat mengakses rawatan tanpa halangan geografi,” katanya.
Fatimah berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Penutupan Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat PUSPEN Kuching di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching, hari ini.
Menurutnya, pendekatan holistik dan berkolaborasi yang diterapkan oleh PUSPEN telah memberi kesan positif dalam membantu penagih mendapatkan rawatan secara sukarela.
“PUSPEN bukan sahaja merawat mereka yang terjebak dengan dadah, tetapi lebih penting, mereka tampil sendiri untuk mendapatkan bantuan.
“Ini membuktikan bahawa kesedaran dalam kalangan mereka semakin meningkat.
“Separuh daripada pertempuran sudah dimenangi apabila mereka sendiri mahu berubah,” tambahnya.
Fatimah turut menegaskan bahawa salah satu cabaran utama dalam menangani isu dadah adalah stigma masyarakat yang menghalang penagih daripada mendapatkan rawatan.
Menurutnya, sistem penafian, dan stigma masih menjadi halangan utama, dengan ramai individu enggan mendapatkan bantuan kerana bimbang terhadap pandangan masyarakat.
Justeru, beliau menegaskan bahawa apabila terdapat individu yang tampil secara sukarela, adalah penting untuk memastikan mereka menerima segala bentuk bantuan yang diperlukan.
Kerajaan Sarawak kini dalam proses mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan bagi menambah pusat pemulihan baharu.
Fatimah menekankan bahawa inisiatif ini bukan sahaja penting dalam aspek rawatan tetapi juga bagi memastikan pengurusan isu penyalahgunaan dadah dilakukan secara lebih sistematik dan menyeluruh.
Oleh Amanda L.