
MIRI: Hajat seorang lelaki ingin menggunakan bilik mandi terbantut selepas seekor ular sawa ditemui di dalam bilik mandi di Taman Desa Senadin di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 1.00 petang itu, ular sepanjang dua meter itu berjaya ditangkap oleh sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong.
Ketua BBP Lutong, Henry Jugah berkata, enam anggota bersama seorang pegawai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan 1.10 petang.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian,didapati ada ular sawa di dalam bilik mandi rumah pelapor.
“PKO kemudian bertindak menangkap ular tersebut dengan menggunakan penjerut ular sehingga berjaya ditangkap,” katanya di sini.
Henry berkata, ular sawa itu kemudian dilepaskan semula ke kawasan hutan yang jauh dari penempatan penduduk.